Potong gaji bayar PTPTN Januari

PGB dilaksana untuk peminjam berpendapatan RM2,000 ke atas

Berita Harian - - ISU - Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) ke atas peminjam berpendapatan bulanan mencecah RM2,000 mulai bulan depan.

Sehubungan itu, PTPTN bekerjasama dengan enam agensi - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Jabatan Akauntan Negara, Urusan Gaji Angkatan Tentera dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) - bagi mendapatkan maklumat pendapatan dan butiran majikan peminjam.

Menerusi skim PGB, perbadanan itu akan berhubung terus dengan majikan yang akan menolak gaji pekerja mempunyai pinjaman secara mandatori.

Skim PGB diumumkan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan pada sidang media mengumumkan mekanisme baharu bayaran balik pinjaman PTPTN di Menara PTPTN di sini, semalam.

Beliau berkata, menerusi skim itu, kadar bayaran yang ditetapkan ialah antara dua peratus hingga 15 peratus, bergantung kepada pendapatan bulanan peminjam.

Katanya, peminjam berpendapatan bawah RM2,000 sebulan tidak perlu membayar sehingga gaji mencecah RM2,000.

“Kaedah ini lebih adil kerana ia memastikan mereka kurang berada tidak terbeban, manakala yang kaya tidak boleh ambil kesempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan kepada maklumat diperoleh, pihaknya akan mengeluarkan arahan kepada majikan untuk membuat potongan gaji mengikut peratus ditetapkan.

“Majikan akan bertanggungjawab membuat potongan gaji pekerja bagi bayaran balik pinjaman kepada PTPTN,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan kerajaan akan melaksanakan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Ketika ini, PTPTN merekodkan 2.9 juta peminjam dengan 1.4 juta dilaporkan liat membayar balik pinjaman.

Wan Saiful berkata, majikan membantu pekerja membayar pinjaman PTPTN secara PGB akan diberi pelepasan cukai bagi jumlah dibayar.

Katanya, kelayakan menikmati pelepasan itu merangkumi apaapa bayaran balik sama ada dibayar secara ansuran setiap bulan atau bayaran sekali gus.

“Syaratnya, majikan tidak boleh mengenakan apa-apa syarat atau tuntutan kepada pekerja selepas pembayaran dibuat.

Insentif pekerja cemerlang

“Majikan mungkin boleh menjadikan penyelesaian hutang PTPTN sebagai insentif kepada pekerja cemerlang atau insentif dalam merekrut pekerja baharu. Insentif ini boleh menjadi motivasi kepada pekerja dan pada waktu sama menaikkan reputasi majikan,” katanya.

Wan Saiful juga berkata, 225,000 peminjam berpendapatan kurang RM2,000 sebulan akan menikmati pelepasan pembayaran pinjaman mengikut skim PGB.

“Mereka berpendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 jumlah bayaran rendah sahaja. Bayaran balik paling rendah ialah dua peratus daripada RM2,000 gaji diterima, peminjam hanya perlu bayar RM40,” katanya.

Beliau berkata, pelajar daripada isi rumah B40 dan M40 yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama dan menamatkan pengajian dalam 2019, layak mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman.

“Namun, syaratnya mereka mengikuti pengajian sepenuh masa, menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan dan daripada keluarga B40 dan M40 ketika tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju melupuskan baki hutang peminjam warga emas jika berpendapatan RM2,000 hingga RM4,000 sebulan dan konsisten membayar balik dalam tempoh tiga tahun sebelum mencecah umur 60 tahun.

Beliau juga berkata, peminjam yang tidak termasuk dalam penggajian mana-mana majikan, mereka dikehendaki membuat pengesahan maklumat pendapatan melalui portal PTPTN bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan ansuran bayaran balik berdasarkan peratus pendapatan.

Katanya, peminjam tiada majikan, tetapi ingkar walaupun mampu, akan dikena tindakan.

“Jika sebelum ini kita memansuhkan hukuman memasukkan nama mereka dalam senarai hitam imigresen (tidak dibenarkan keluar negara), hukuman menyenaraikan nama mereka dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) serta saman tetap dilaksanakan,” katanya.

Wan Saiful berkata, pihaknya juga masih mengkaji desakan supaya yuran pentadbiran PTPTN antara satu hingga tiga peratus dimansuhkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.