Muhammad Shafee mohon batal kelayakan Sequerah dengar kes

Berita Harian - - MAHKAMAH -

Kuala Lumpur: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan memohon untuk membatalkan kelayakan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan mengemukakan penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.

Muhammad Shafee yang ditemui selepas prosiding sebutan kesnya, semalam, berkata, beliau melalui peguam bela akan memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada minggu ini.

Terdahulu, pada prosiding sebutan, peguam Harvinder Singh yang mewakili Muhammad Shafee berkata, beliau mendapat arahan bahawa pihak pembelaan berpandangan Hakim Sequerah tidak sepatutnya mendengar perbicaraan kes membabitkan anak guamnya.

Harvinderjit berkata, ia adalah kerana hakim itu turut mendengar kes 25 tuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi anak guamnya, iaitu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

2 lagi hakim berkelayakan

Katanya, terdapat dua lagi hakim Mahkamah Tinggi yang berkelayakan untuk mendengar kes itu kerana mereka tidak terbabit dalam pendengaran kes Najib.

“Kami tidak ada sebarang isu dengan dua lagi hakim yang tidak terbabit mendengar kes Najib,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata pendakwaan tidak membantah cadangan Harvinder, sebaliknya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.

Sequerah kemudian memaklumkan kepada semua pihak, beliau tidak berpandangan sama dengan pihak pembelaan (bahawa beliau tidak sepatutnya mendengar kes itu).

Terus mendengar kes

“Saya akan meneruskan dengan mendengar kes ini dan menetapkan tarikh perbicaraan, tertakluk kepada permohonan rasmi oleh pihak pembelaan,” katanya.

Hakim itu kemudian menetapkan kes pengurusan kes pada 15 April tahun depan dan tarikh perbicaraan selama dua minggu bermula 14 Mei 2019.

Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah terhadap empat tuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Najib hasil aktiviti pengubahan wang haram dan membuat penyata tidak betul kepada LHDN.

Beliau didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau juga didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Peguam itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau keduaduanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.