38 lagi dicari bantu siasatan

Jumlah tangkapan sehingga semalam 99 orang

Berita Harian - - JENAYAH - Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nor Azizah Mokhtar

Seramai 38 individu lagi diminta tampil membantu siasatan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Dengan perkembangan terbaru itu, bilangan individu yang sedang dikesan polis berhubung kejadian berkenaan meningkat kepada 66 orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata pihaknya memohon kerjasama individu terbabit supaya tampil membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Deputi Superintendan G K Shan Gopal di talian 0192714387.

“Mereka juga boleh menghubungi Asisten Superintendan Siasatan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Superintendan S Neeraj Durai di talian 0163565622,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan individu terbabit kepada Inspektor Siasatan Databank DNA Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor, Inspektor Norsiah Hussin dengan menghubungi talian 012-7989973.

Isnin lalu, polis menyebarkan gambar 28 saksi bagi membantu siasatan insiden rusuhan itu.

Operasi di Lembah Klang

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata polis menahan 16 lagi individu bagi membantu siasatan insiden itu, sekali gus menjadi jumlah tangkapan sehingga jam 8 pagi semalam seramai 99 orang.

“Tangkapan itu membabitkan lelaki tempatan susulan operasi di sekitar Lembah Klang. Siasatan dan usaha mengesan baki suspek masih diteruskan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh kepada Timbalannya, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, yang akan memangku jawatan itu di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, semalam.

Jauhi unsur sentimen

Mohamad Fuzi turut memberi peringatan kepada peserta perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini menjauhi topik berunsur sentimen.

“Jangan jadikan insiden kekecohan di kuil berkenaan sebagai satu sentimen kerana ia tiada kaitan dengan isu perkauman atau agama,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.