‘Saya paling layak jadi Presiden AS’

Berita Harian - - DUNIA -

Washington: Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mencetuskan spekulasi beliau mungkin bertanding untuk jawatan Rumah Putih pada 2020 dengan mengatakan dirinya adalah ‘individu paling layak’ menjadi presiden negara itu.

Biden, 76, membuat kenyataan itu malam Isnin lalu ketika berada di Montana dalam jelajah mempromosi bukunya Promise Me, Dad diterbitkan sejak 2017 mengenai kematian anak lelaki beliau, Beau, akibat kanser otak.

“Saya fikir, saya adalah individu paling layak dalam negara untuk menjadi presiden. Isu yang kita hadapi sebagai negara pada hari ini ialah isu yang saya perjuangkan seluruh hidup saya, nasib kelas pertengahan dan dasar luar,” kata akhbar tempatan, Missoula Current, memetik Biden.

Keputusan 2 bulan lagi

Biden, yang berkhidmat selama lapan tahun sebagai Naib Presiden kepada Barack Obama berkata, beliau perlu berbincang dengan keluarganya sebelum mengambil keputusan sama ada untuk menentang Presiden Donald Trump, dua tahun dari sekarang.

“Saya dan keluarga perlu membuat keputusan bersama jika kami bersedia, kami melakukan segala-galanya sebagai satu keluarga,” kata Biden, menambah beliau akan membuat keputusan itu dalam tempoh enam minggu hingga dua bulan lagi.

Pemimpin itu yang berkhidmat sebagai senator dari Delaware sebelum memegang jawatan kedua tertinggi negara ditanya jika reputasinya kerana membuat ‘kesilapan’ mungkin menjejaskan prospeknya.

“Saya mungkin mesin kesilapan, namun ia lebih bermakna berbanding dengan individu yang tidak dapat membezakan kebenaran,” kata beliau merujuk kepada Trump.

“Tiada siapa ragu-ragu dengan apa yang saya katakan, masalahnya ialah, saya kadang kala bersuara apa yang saya maksudkan. Persoalannya sekarang, apa akan jadi dengan negara ini? Kita tidak memiliki empat tahun lagi,” kata Biden.

Jika memutuskan untuk bertanding, Biden dianggap calon yang kuat untuk pencalonan presiden Demokrat 2020.

Joe Biden

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.