‘Usah cetus kekacauan, rosak harta benda awam’

PM minta peserta jaga kebersihan, tak buang sampah merata-rata

Berita Harian - - ISU - Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Fazrik Kamarudin

Tun Dr Mahathir Mohamad meminta penganjur perhimpunan ‘kesyukuran’ kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada hari ini memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam.

Perdana Menteri turut meminta supaya peserta perhimpunan tidak membuang sampah di merata-rata tempat dan menjaga kebersihan.

“Bagi pihak kerajaan, jika perhimpunan itu diadakan atas dasar kesyukuran, kita mengucapkan terima kasih kerana sokongan yang ditunjukkan.

“Pihak kerajaan tidak berhasrat menghalang atau menyukarkan penganjur perhimpunan kerana ini bertentangan dengan dasar kerajaan yang mendokong prinsip demokrasi.

“Cuma satu saja permintaan kerajaan iaitu penganjur perlu membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain dalam memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam,” katanya dalam pesanan ringkas yang disampaikan menerusi laman Youtube, semalam.

Jangan lakukan provokasi Kuala Lumpur,

Di Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, memberi amaran kepada peserta perhimpunan itu supaya jangan melakukan provokasi dan mengelak membuat ucapan berbaur hasutan.

“Jangan lakukan sebarang provokasi, elakkan ucapan berbaur hasutan dan berhimpunlah dengan aman. Peserta perhimpunan diingatkan tidak mencetuskan provokasi terhadap anggota polis, tidak membawa senjata berbahaya dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan perhimpunan berjalan lancar, pihaknya akan mengadakan kawalan keselamatan dan trafik, selain peserta perhimpunan diminta mematuhi arahan anggota polis.

“Kita mahukan perhimpunan yang aman, jangan timbulkan sebarang kekacauan dan perkara tidak diingini,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba menimbulkan provokasi, mencetuskan kekecohan, mengganggu-gugat ketenteraman awam dan melanggar undang-undang.

“Kita beri kebenaran berhimpun, kita hormati kebebasan bersuara tetapi harus diingat kita ada undang-undang yang perlu dipatuhi, kita ada Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Beliau juga menasihati peserta meletakkan kenderaan di luar kawasan tempat berkumpul dan menggunakan kenderaan awam bagi mengelakkan kesesakan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan perhimpunan kesyukuran ICERD dengan membenarkan perhimpunan diadakan di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula jam 2 hingga 6 petang.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Sekretariat Gerakan Pembela Ummah memaklumkan perhimpunan membantah ICERD di Dataran Merdeka ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.