Permainan politik, ada kepentingan UMNO, PAS: Mukhriz

Berita Harian - - ISU -

Alor Setar: Perhimpunan ‘kesyukuran’ kerajaan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) di ibu negara hari ini, didakwa bermotifkan politik untuk kepentingan UMNO dan PAS.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata permainan politik kedua-dua parti itu dilihat berisiko menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan rakyat melalui sentimen perkauman dalam ICERD.

“Kita harus faham perhimpunan esok (hari ini) antara UMNO dan PAS tidak lain tidak bukan hanya perhimpunan politik semata-mata dan yang tidak berapa cantiknya ialah sentimen perkauman keagamaan yang cuba mereka bawa.

“Perkara ini kalau tidak diawasi boleh menimbulkan rasa resah dan boleh menyebabkan ketegangan dalam masyarakat, walhal ketika ini sepatutnya kita memberi tumpuan kepada perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan PH Kedah di sini, semalam.

Mukhriz yang juga Menteri Besar berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dua parti pembangkang itu cemburu dengan keutuhan PH dan cuba memporak-perandakan gabungan berkenaan dengan menggunakan isu berkaitan ICERD.

Apa tujuan sebenar

“Kita tak berapa faham apa sebenarnya tujuan (perhimpunan)... apabila ditimbulkan isu perkauman dan keagamaan sehingga menimbulkan emosi. Apa yang mereka timbulkan ialah isu politik mungkin iri hati sebab PH begitu kukuh... mereka tidak akan dapat menjejaskan hubungan empat parti dalam pakatan ini,” katanya.

Di Kota Bharu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata perhimpunan itu bakal menyaksikan penentangan rakyat baharu saja bermula.

“Penentangan terhadap ICERD baru bermula, bukan soal tandatangan atau tidak, sebaliknya membangkitkan kesedaran rakyat apabila soal agama diancam.

“Kita menentang ICERD kerana ia menjejaskan kedaulatan perlembagaan negara. Jika ICERD diratifikasi, paling berbahaya jika ada pertikaian, mana-mana pihak layak cabar kerajaan dan merujuk negara kita kepada Mahkamah Antarabangsa,” katanya dalam ucapan di Ceramah Grand Finale Himpunan Aman Rakyat Membantah ICERD di sini, malam kelmarin.

Sungai Besar,

Di Pengerusi Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berkata pihaknya akan membawa imej berbeza berbanding perhimpunan lain yang pernah dianjurkan sebelum ini.

[FOTO AMRAN HAMID/BH]

Mukhriz menyampaikan ucapan pada Konvensyen Kepimpinan Pakatan Harapan Negeri Kedah, di Alor Setar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.