SUHAKAM TANGGUH SAMBUTAN HARI HAK ASASI MANUSIA KEPADA ESOK

Keputusan dibuat atas nasihat Pejabat Perdana Menteri, polis atas faktor keselamatan

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor [email protected]

Sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 yang dijadualkan berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini ditunda ke esok atas faktor risiko keselamatan.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail, berkata walaupun kecewa dengan keputusan itu, pihaknya akur dengan nasihat penangguhan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri dan polis.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) supaya menangguhkan sambutan berkenaan atas faktor risiko keselamatan.

“Namun, saya tidak diberi maklumat lanjut berhubung risiko berkenaan. Sebelum ini kami tidak mendapat sebarang ugutan atau ancaman,” katanya pada sidang media di Pejabat SUHAKAM di sini, semalam.

Razali berkata, pihaknya dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak dapat menghadiri sambutan majlis itu yang bertujuan memperingati Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018.

“Kami tidak berpuas hati kerana sambutan ini sudah dirancang sejak berbulan lalu dan ia disambut setiap tahun sejak 17 tahun lalu,” katanya.

Bukan perhimpunan

Sementara itu, Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph, berkata sambutan pada tahun ini adalah kali pertama diadakan di kawasan terbuka.

Katanya, sambutan itu memperingati hak asasi manusia, bukan perhimpunan.

“Jadi saya tidak tahu kenapa risiko keselamatan menjadi sebab untuk kami tangguhkan sambutan kali ini. Namun, kami akur dan akan mengadakan sambutan pada Ahad (esok) di tempat (Padang Timur) dan masa yang sama (bermula jam 9 pagi) ,” katanya.

Kami akur dengan nasihat penangguhan” Razali Ismail, Pengerusi SUHAKAM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.