AGIHAN ‘DURIAN RUNTUH’ FELDA BERUNSUR POLITIK

Insentif dilaksana FELDA menjelang dua PRU jejas aliran tunai

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Wartawan BH [email protected]

Pengagihan insentif dan ‘durian runtuh’ kepada peneroka yang dilaksanakan FELDA menjelang dua pilihan raya umum (PRU) terakhir, cenderung dibuat atas pertimbangan politik.

Tindakan itu menjejaskan aliran tunai FELDA yang kini dilapor menanggung hutang mencecah RM8 bilion, sekali gus menyebabkan agensi itu kini dibelenggu masalah kewangan yang meruncing.

Sumber berkata, pemberian insentif dan ‘durian runtuh’ kepada peneroka jelas mencerminkan wujudnya campur tangan politik, apabila hanya dibuat pada tahun tertentu sahaja khususnya ketika menjelang PRU.

“Pemberian (insentif dan durian runtuh kepada peneroka) membabitkan jumlah besar. Contohnya lebih RM2 bilion diagihkan sebagai durian runtuh pada 2012 dan 2013, iaitu ketika negara sedang menghampiri PRU-13.

“Hal sama berlaku menjelang PRU-14 apabila kira-kira RM500 juta dibelanjakan untuk pemberian durian runtuh.

“Kita percaya kedua-dua perbelanjaan besar dikeluarkan untuk manfaat peneroka itu, mempunyai kecenderungan politik oleh parti tertentu,” katanya kepada BH.

Ditanya mengenai motif campur tangan terbabit, sumber sama berkata, mengambil kira tempoh masa perbelanjaan dibuat, ia mungkin semata-mata untuk meraih sokongan politik menjelang pilihan raya.

“Campur tangan politik ke atas FELDA akan menyebabkan agensi terbabit ‘terpaksa’ memenuhi tuntutan arahan, biarpun mengakui ia perbelanjaan dibuat bukan suatu yang bersifat mapan.

“Tunai yang sebaiknya boleh dibelanjakan untuk kegunaan lebih efektif, terpaksa dibelanjakan dengan pemberian durian runtuh.

Sumbangan hari raya

“Bukan sahaja durian runtuh, pemberian sumbangan hari raya juga menunjukkan jumlah tinggi untuk tahun tertentu, termasuk tahun lalu,” katanya tanpa mendedahkan sebarang angka.

Sebelum ini BH melaporkan tiga isu utama yang menyebabkan FELDA menanggung hutang dan kerugian tinggi, dijangka dibangkitkan melalui Kertas Putih FELDA meliputi kegagalan tadbir urus se- rius oleh pengurusan terdahulu, kemerosotan mendadak kedudukan tunai serta isu membelenggu peneroka.

Gagal urus keuntungan FGV

Yang turut dijangka disebut ialah kegagalan FELDA mengurus keuntungan hasil penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd atau kini FGV Holdings Berhad (FGV) pada 2012, sehingga terpaksa menanggung hutang besar dengan institusi kewangan.

Justeru, sumber berkata, perbelanjaan tinggi berkaitan peneroka disebabkan campur tangan politik sehingga menjejaskan aliran tunai FELDA, akan turut disebut melalui Kertas Putih FELDA nanti.

Mengenai kedudukan hutang FELDA, sumber itu menegaskan ahli lembaga yang baharu perlu memastikan keupayaan aliran tunai agensi itu, dengan melunaskan liabiliti jangka pendek kepada pemiutang atau melaksanakan penstrukturan semula.

Campur tangan politik ke atas FELDA akan menyebabkan agensi terbabit ‘terpaksa’ memenuhi tuntutan arahan, biarpun mengakui ia perbelanjaan dibuat bukan suatu yang bersifat mapan” Sumber

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.