121,429 syarikat, individu saksi gagal bayar balik GST
Putrajaya: Sebanyak 121,429 syarikat dan individu yang menjadi mangsa kegagalan kerajaan terdahulu membuat bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion, boleh menjadi saksi berhubung perkara itu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, ia bagi menangkis fitnah dikatakan dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa tuntutan RM19.4 juta itu satu penipuan.
Katanya, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan masih menafikan skandal kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) membuat bayaran balik GST itu dalam tempoh dua minggu seperti ditetapkan bawah Peraturan/perintah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.
“Kini, beliau cuba menggunakan Laporan Ketua Audit Negara mengenai kedudukan bayaran balik GST bagi tempoh hingga 5 Jun 2018 untuk menyatakan audit semakan masih belum siap dan hanya RM1.4 bilion diluluskan serta dihutang untuk bayaran balik GST.
“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah mengeluarkan kenyataan dua hari lalu mengesahkan semakan audit ke atas permohonan tuntutan pulang balik RM19.47 bilion sudah selesai dilaksanakan dan jumlah itu diluluskan untuk dibuat bayaran pada akhir Julai 2018.
“Bagaimanapun, tiada dana yang cukup dalam Tabung Amanah Bayaran Balik GST untuk membayar tunggakan tuntutan pulang balik ini kerana hanya ada RM148.6 juta atau kekurangan RM19.2 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Isnin lalu, Najib dalam laman Facebooknya berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dikeluarkan pada hari itu menunjukkan jumlah wang input GST belum dibayar balik setakat 5 Jun 2018 adalah RM19.47 bilion dan jumlah diluluskan, tetapi belum dibayar hanya RM1.45 bilion yang boleh disebabkan pelbagai masalah seperti akaun penerima ditutup, dibeku ataupun kurang daripada 30 hari.
Najib turut mempersoalkan tindakan Guan Eng yang dikatakan tergesa-gesa ‘menjarah’ wang PETRONAS untuk tahun depan dengan alasan mahu membayar balik tuntutan itu.
Najib berkata, sedangkan laporan audit itu menunjukkan ada tuntutan bayaran balik mungkin tidak sah atau menunjukkan percubaan menipu kastam, iaitu RM3.9 bilion untuk mereka yang tiada pembekalan bercukai dan RM3.52 bilion masih dalam siasatan.
Bongkar skandal
Bagaimanapun, Guan Eng berkata, beliau membongkarkan skandal RM19.4 bilion yang tidak dibayar balik dalam dua minggu itu di Dewan Rakyat pada 9 Ogos dan bukan 5 Jun lalu.
“Bawah Seksyen 54 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014), semua bayaran GST yang dikutip mesti dibayar terus kepada Tabung Amanah GST untuk membolehkan bayaran balik GST dibuat.
“Malangnya, ini tidak dilakukan oleh kerajaan lama, tetapi dibayar terus kepada Akaun Hasil Disatukan, yang menyalahi undangundang GST,” katanya.
Guan Eng berkata, Akaun Hasil Disatukan hanya mempunyai RM450 juta pada 30 April lalu dan tidak mencukupi untuk dipindahkan kepada Tabung Amanah GST bagi membiayai bayaran balik GST tertunggak.
Justeru, katanya, kerajaan terpaksa bergantung kepada sumbangan dividen khas PETRONAS untuk membuat bayaran balik GST yang tertunggak RM19.4 bilion pada tahun depan.
Berhubung tuntutan bayaran balik tunggakan RM0.9 bilion, Guan Eng berkata, kastam menyatakan bayaran balik adalah kepada dua syarikat milik kerajaan dan tuntutan berpunca daripada pelepasan diberikan Kementerian Kewangan bawah peruntukan Seksyen 56(3) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 bagi tuntutan cukai input sudah dibayar syarikat.
“Saya difahamkan RM187.8 juta sudah dibayar. Tidak ada sebarang kehilangan dana kerana keduadua syarikat milikan 100 peratus Kerajaan Persekutuan,” katanya.