‘Baiki kekurangan, bukan bubar’

Berita Harian - - ISU -

Nilai: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berharap kerajaan tidak meneruskan rancangan untuk membubarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sebaliknya membaiki kekurangan yang ada di bawah pengurusan yang terdahulu.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, AIM sudah terbukti banyak membantu, terutama dalam kalangan wanita luar bandar.

“Sekiranya ada kesilapan dari segi pengurusan yang terdahulu maka kita harus membaikinya, bukan menutup AIM.

“AIM ini saya dimaklumkan mempunyai lebih 340,000 orang Sahabat AIM. Badan ini fungsi dan matlamatnya bagus,” katanya kepada BERNAMA ketika ditemui pada program Jom Kembali ke Sekolah di sini, semalam.

Rina berharap segala tindakan akan diambil terhadap AIM, tidak akan menjejaskan sahabat AIM, terutama mereka yang di luar bandar.

“Saya akan berjumpa dengan pengerusi AIM dalam masa terdekat untuk bertanyakan dengan lebih lanjut,” katanya.

Akhbar kelmarin melaporkan kerajaan sedang menyediakan dokumen yang diperlukan untuk memulakan prosedur pembatalan sijil Pemerbadanan AIM kerana tidak memenuhi syarat Suratcara Ikatan Amanah, terutama dalam penubuhan anak syarikat.

Terdahulu dalam program berkenaan, Rina menyampaikan pek bantuan persekolahan kepada 200 pelajar dalam Parlimen Rasah.

Pelajar turut menerima bantuan baucar RM30 sebagai deposit untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Usahawan wanita kecewa Seremban,

Sementara itu di kira-kira 400,000 usahawan kecil wanita kecewa apabila kerajaan merancang membubarkan AIM.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad, berkata, kerajaan tiada sebab berbuat demikian kerana AIM berjaya membantu ramai usahawan menerusi pinjaman mikro yang ditawarkan.

Katanya, lebih 98 peratus peminjam membayar semula pinjaman mereka, sekali gus membuktikan ia berjaya.

“Saya hairan apa rasional kerajaan mahu membatalkan AIM. Ramai usahawan wanita menyatakan yang mereka kecewa dengan cadangan ini.

“AIM berjaya membantu ramai usahawan majoritinya wanita untuk berniaga secara kecil-kecilan,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup ceramah Cintai Rasulullah di Wisma UMNO di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Wanita UMNO negeri, Latteffah Aliyaru Kunju.

Mohamad pula berkata, pinjaman mikro itu berjaya membantu ramai usahawan kecil keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Saya tidak nampak apa isu sijil AIM dibatalkan. Jika kerajaan kata tiada duit, dah banyak projek besar yang dibatalkan dan patutnya ada duit untuk terus beri pinjaman,” katanya.

[FOTO BERNAMA]

Rina menyampaikan kelengkapan sekolah kepada penerima sambil diperhatikan Pengarah MARA Negeri, Mimi Mazlin Mohd Yusof (kanan) pada program Jom Kembali ke Sekolah di Nilai, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.