TMJ dakwa cubaan lobi EXCO ganti MB

Berita Harian - - ISU -

Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata ada pihak cuba melobi salah seorang EXCO kerajaan negeri dalam cubaan untuk menggantikan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

TMJ dalam akaun Twitternya berkata, “Anda bukan seorang Perdana Menteri. Apa yang membuatkan anda berfikir dengan cuba melobi seseorang menjadi Menteri Besar yang boleh menjadi boneka anda, anda boleh mengawal Johor?

“Anda melobi salah seorang EXCO kami menjadi Menteri Besar. Kami tahu itu. Ini bukan lagi 1992. Negeri Johor masih ada Sultan yang memerintah,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

Kestabilan politik Johor dilihat mula diuji apabila satu salinan Warta Kerajaan Johor berhubung pembatalan pewartaan Pulau Kukup sebagai Taman Negara tersebar, Selasa lalu.

Warta Kerajaan Johor bertarikh 24 September itu memaparkan pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3(3) Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989.

Bagaimanapun, pada sidang DUN kelmarin, kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Usul berkenaan diluluskan Speaker DUN, Suhaizan Kaiat selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti ADUN.

Pada masa sama, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk A Kadir Jasin, dalam blognya mendesak Osman menjelaskan pertukaran status Pulau Kukup dan jika gagal berbuat demikian adalah lebih baik beliau meletak jawatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.