Tiada tindakan sehingga polis selesai siasat

Berita Harian - - ISU -

Ipoh: Tiada tindakan akan diambil setakat ini terhadap individu yang cuba menggulingkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis selesai.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, beliau tidak berhasrat memulakan sebarang tindakan ke atas mana-mana Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) atau pemimpin PH negeri.

“BERSATU tidak akan mengambil tindakan setakat ini sebab tidak nampak ada kesalahan dalam kalangan ahli EXCO atau ahli PH.

“Tetapi, jika pihak polis dan SPRM mahu jalankan siasatan atas salah laku atau usaha mahu gulingkan MB (Menteri Besar), kita alu-alukan dan serahkan kepada mereka apa juga tindakan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis berkhatan di Taman Meru 2C di sini, semalam.

Selasa lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mendedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari adalah individu yang menjadi dalang untuk menjatuhkan Menteri Besar.

Sementara itu, SPRM Perak Menteri Besar Perak mengesahkan siasatan terhadap dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak, adalah berdasarkan aduan yang dibuat.

Percakapan saksi dirakam

Pengarahnya, Datuk Zainul Darus, berkata setakat ini saksi, termasuk ADUN yang membuat akuan bersumpah berhubung dakwaan itu sudah dirakam percakapan mereka.

Beliau berkata, pihaknya kini membuat siasatan rapi bagi melengkapkan siasatan.

“Siasatan dimulakan sebab ada aduan dan kita perlu sahkan sama ada wujud keterangan berkaitan rasuah dalam kes ini.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, semalam.

Zainul berkata, SPRM akan memanggil saksi lain jika diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

Ditanya sama ada SPRM akan turut mendapatkan keterangan daripada Ahmad Faizal, beliau berkata; sehingga ini belum lagi ada keterangan untuk pihaknya memanggil Menteri Besar.

Kelmarin, Ahmad Faizal yang ditemui media memaklumkan beliau sedia memberi kerjasama kepada SPRM sekiranya perlu bagi membantu siasatan itu, namun mengakui tidak mempunyai banyak maklumat mengenai isu terbabit melainkan apa yang diketahui melalui laporan media.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.