Bukti kerajaan tak sombong, boleh berbincang: Anwar
Alor Setar: Penangguhan pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) bagi bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuktikan kerajaan boleh dibawa berbincang dalam melaksanakan keputusan berkaitan kepentingan rakyat.
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan positif itu menunjukkan kerajaan kini tidak sombong dalam memutuskan sebarang hal, sekiranya ia mendapat kritikan rakyat.
Presiden PKR itu berkata, keputusan berkenaan bukan menggambarkan kerajaan tidak tegas, sebaliknya dilakukan selepas wujud perkara berbangkit daripada pihak berkepentingan.
“Apakah satu kelemahan kalau kita buat penyesuaian, saya rasa itu satu kekuatan kerana kita tidak terlalu sombong.
Bukan tidak tegas
“Jika ia ditangguh atau diperbaiki, saya anggap satu yang positif daripada seorang pemimpin untuk melakukannya, walaupun ada orang anggap ia suatu yang tidak tegas, tetapi sebenarnya tidak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Kepimpinan PH Kedah di sini, semalam.
Anwar berkata, pihaknya tidak mahu wujud persepsi peminjam PTPTN terpaksa menanggung beban hutang lebih teruk selepas negara ditadbir kerajaan PH berbanding Barisan Nasional (BN).
“Ada hal kita lakukan yang kita kena tangguhkan dan dalam soal PTPTN ini supaya jangan ada persepsi di bawah PH, beban membayar hutang lebih teruk dari keadaan yang dahulu.
“Saya percaya inilah pemimpin PH yang mendengar derita rakyat, tetapi kalau kita nak batal macam dahulu (perjanjian), tak boleh terutama pada peringkat sekarang,” katanya.
Di Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata isu pinjaman dan bayaran balik perlu ditangani dengan baik kerana ia antara faktor utama PH menang dan menjadi kerajaan.
Katanya, tidak mustahil kerajaan akan ‘jatuh’ jika suara dan pandangan anak muda yang kini kebanyakannya
Shah Alam,
menyatakan ketidakpuasan hati mengenai perkara itu tidak diambil peduli.
“Sebab itu, apabila PTPTN buat pengumuman mengenai mekanisme baharu berkaitan pembayaran balik pembiayaan, saya nyatakan ia perlu dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Faktor PH jadi kerajaan
“Isu PTPTN ini antara faktor bawa PH menjadi kerajaan. Jangan sampai ia bawa kerajaan jatuh kerana isu ini,” katanya dalam program Bicara Minda di pejabat Karangkraf di sini, semalam.
Sementara itu, bekas Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata kerajaan disaran meneruskan kaedah kutipan balik yang dilakukan kerajaan BN sebelum ini.
Katanya, pihaknya sebelum ini pernah melakukan kajian mengenai PGB dan melihat model yang dilaksanakan di Australia serta New Zealand, namun didapati kurang sesuai dan sukar untuk dilaksanakan.
“Kerajaan sebelum ini tidak melaksanakan kaedah PGB dan potongan dibuat hanya atas persetujuan peminjam sahaja dan tidak bersifat wajib,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan terdahulu mengamalkan konsep ‘boleh bincang’ dan praktikkan ‘penstrukturan dan penjadualan pinjaman”, kerana ia lebih baik kepada peminjam dan pada masa sama tidak merugikan PTPTN apabila jumlah potongan gaji atas persetujuan bersama.