JBPM bantu persiapan perkahwinan Adib

Berita Harian - - ISU -

Nilai: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membantu keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, anggotanya yang parah dipukul dalam insiden di hadapan kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya, membuat persiapan perkahwinannya yang dijangka diadakan hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohamad Hamdan Wahid, berkata jabatan bersedia menyalurkan apa juga bentuk bantuan yang diperlukan oleh keluarga Muhammad Adib, 24, bagi melancarkan majlis bersejarah itu.

“JBPM akan berhubung dengan keluarga mangsa untuk mengenal pasti jenis bantuan yang diperlukan. Kami akan membantu sedaya upaya untuk meringankan beban keluarga agar majlis itu dapat dijayakan dengan lancar,” katanya.

Muhammad Adib yang berasal dari Kedah dijadualkan berkahwin pada 21 Disember ini bersama pasangannya, Nurul Najihah Mohd Radzi, 25.

Ditanya sama ada tarikh perkahwinan itu mungkin ditunda berikutan keadaan Muhammad Adib yang masih kritikal dan sedang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Mohamad Hamdan berkata, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada keluarga mangsa.

“Sekiranya pihak keluarga masih mahu meneruskan majlis perkahwinan itu pada tarikh yang telah ditetapkan, kami akan memberikan bantuan diperlukan.

Pastikan kebajikan anggota dijaga

“Kita akan sentiasa memastikan kebajikan anggota dijaga,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri program Bicara Tokoh Achieving High Perfomance Fire Organisation: The X Factors

di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor USIM dan Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Kehormat, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Amer Yusof dan Pengarah Bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis.

Sementara itu, Mohamad Hamdan berkata, Muhammad Adib sudah menunjukkan perkembangan positif selepas menukar sistem sokongan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru, pada Ahad lalu.

“Beliau masih tidak boleh memberi reaksi verbal disebabkan mulutnya masih dipenuhi dengan tiub.

“Bagaimanapun, beliau sudah boleh memberikan isyarat tangan tanda memahami komunikasi dan memberi reaksi yang lain ketika diminta berbuat demikian dan kami yakin, dengan bantuan pasukan perubatan dan doa dari semua, beliau akan kembali pulih walaupun berkemungkinan mengambil sedikit masa,” katanya.

Mohamad Hamdan berkata, pihaknya telah memanggil lapan orang anggota bomba yang terbabit dalam kejadian itu pada satu sesi pertemuan yang diadakan pada minggu lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.