Moody’s sahkan kekal penarafan kredit Malaysia

Potensi pertumbuhan teguh, pasaran modal sokong penilaian A3

Berita Harian - - BISNES - Oleh Alzahrin Alias

Moody’s Investors Service mengesahkan penarafan kredit A3 bagi penerbit mata wang asing dan tempatan serta hutang tidak bercagar kerajaan, dengan tinjauan kekal stabil.

Agensi penarafan global itu terus mengekalkan penarafan itu meskipun kedudukan fiskal negara semakin berkurangan.

Moody’s berkata, kerajaan akan menanggung hutang dalam jangka masa yang panjang dan pilihan dasar fiskal kerajaan akan menyempitkan asas pendapatan serta mengurangkan fleksibiliti fiskal.

“Pada masa yang sama, potensi pertumbuhan yang teguh walaupun terdapat penurunan dalam beberapa tahun akan datang serta pasaran modal negara terus menyokong penilaian A3 itu.

“Rangka kerja institusi yang mantap, termasuk keberkesanan dasar monetari yang kukuh juga menyokong profil kredit walaupun Moody’s berpendapat kerajaan akan menghadapi rintangan dalam menangani rasuah.

“Kestabilan tinjauan juga mengimbangi kekangan kredit daripada kemampuan hutang yang rendah dan beban hutang yang tinggi terhadap pengukuhan kredit termasuk pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang serta pendanaan yang stabil,” katanya.

Kestabilan pembiayaan

Moody’s berkata, kestabilan pembiayaan disebalik persekitaran global yang lemah juga menyokong kestabilan prospek pada A3.

Moody’s juga mengesahkan hutang tidak bercagar dolar Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan Malaysia Sovereign Sukuk Bhd dan hutang tidak bercagar oleh Malaysia Sukuk Global Bhd.

Ia turut menegaskan penarafan mata wang tempatan pada hutang tidak bercagar yang disokong oleh Khazanah Nasional Bhd pada A3, yang dijamin kerajaan.

Mengulas lanjut, Moody’s berkata kerajaan baharu juga beri isyarat peralihan penting dalam dasar-dasar utama ke arah menyokong pendapatan rendah dan meningkatkan ketelusan kewangan awam.

“Pilihan fiskal kerajaan, terutama pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), akan memberi kesan negatif jangka panjang ke atas kutipan cukai.

“Langkah yang dilaksanakan dan diumumkan akan membawa kepada tumpuan asas pendapatan ke atas pendapatan berkaitan minyak dan kebergantungan terhadap hasil bukan cukai seperti dividen daripada perusahaan milik negara yang akan membatasi fleksibiliti fiskal pada tahun akan datang.

“Moody’s menilai kekuatan fiskal Malaysia berada di paras yang rendah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.