MITI yakin eksport berkembang lima peratus tahun ini

Berita Harian - - BISNES -

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) optimis sektor eksport negara mampu mencapai sasaran berkembang lima peratus kepada RM982.17 bilion tahun ini berbanding RM935.4 bilion pada 2017, disokong oleh segmen elektrik dan elektronik (E&E).

Menurut laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia yang dikeluarkan MITI, eksport pada Oktober 2018 disumbangkan oleh barangan E&E bernilai RM38.38 bilion, meningkat 23.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2017.

Timbalan Menteri MITI, Dr Ong Kian Ming, berkata, sektor E&E terus merekodkan peningkatan yang memberangsangkan dan menjadi antara pemacu utama bagi eksport negara.

“Meskipun ketika ini masih berlaku perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China, namun kerajaan terus yakin dan optimis aktiviti sektor eksport negara akan terus cemerlang dan mencapai sasarannya.

“Kehadiran syarikat pengeluar seperti Panasonic turut menyumbang kepada pertumbuhan untuk eksport bagi segmen E&E di Malaysia dan ia adalah pemangkin yang baik kepada negara.

“Kedudukan ringgit yang lemah juga perlu dimanfaatkan kerana ia membantu dari segi eksport namun tidak boleh bergantung kepada situasi ini kerana ia juga memberi kesan dari segi import,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian tiga kemudahan Panasonic di Shah Alam, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ketua Setiausaha MITI, Datuk Isham Ishak; Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perkakasan Panasonic Corporation, Tetsuro Homma.

Pertumbuhan industri

Kian Ming berkata, industri E&E adalah tulang belakang bagi sektor pengeluaran di Malaysia dan pada 2017, ia menyumbang eksport bernilai RM343 bilion.

“Kewujudan ekosistem E&E yang kukuh dan komitmen kerajaan untuk menekankan kepada pertumbuhan industri, Malaysia yakin untuk memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat E&E global,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, Selangor juga berada pada landasan tepat bagi mencapai pelaburan bernilai RM7 bilion pada 2018 bagi negeri itu meskipun berlaku ketidaktentuan pelabur sekitar Mei hingga Jun lalu.

Katanya, kerajaan negeri kini sedang menyusun kembali peta pembangunan sebagai usaha memperhebatkan aset sedia ada melalui pelbagai aspek dan kluster.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.