Bursa Malaysia tambah baik rangka kerja ETF

Berita Harian - - BISNES -

Bursa Malaysia Bhd telah membuat beberapa penambahbaikan kepada rangka kerja Dana Dagangan Bursa (ETF) di bawah keperluan penyenaraian Pasaran Utama serta Peraturan dan Arahan Bursa Malaysia Securities Bhd untuk memacu pertumbuhan industri ETF di Malaysia.

Inisiatif dan garis panduan yang disemak semula mengenai ETF dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 26 November 2018 adalah sebahagian daripada usaha oleh bursa dan SC untuk mengembangkan potensi pasaran ETF Malaysia.

“Dengan garis panduan yang disemak semula, pelbagai ETF seperti ETF berasaskan niaga hadapan, ETF sintetik, ETF komoditi fizikal dan ETF beta pintar, kini dapat dikeluarkan.

“Melalui pindaan ETF, Bursa telah meningkatkan rangka kerja dagangan dan selepas penyenaraian ETF dengan tujuan untuk menggalakkan keberkesanan perniagaan yang lebih baik dan mengurangkan kos pematuhan oleh ETF, memudahkan pertumbuhan industri ETF, meningkatkan ketelusan dan perlindungan pelabur, selain memudahkan pasaran melakukan aktiviti untuk semua ETF melalui rangka kerja Jualan Singkat Dibenarkan (PSS) yang dipertingkatkan,“katanya dalam satu kenyataan.

Galak ketelusan

Dalam hal ini, pindaan ETF yang utama termasuklah meliberalisasikan kekerapan pelaporan interim dari asas suku tahunan kepada setengah tahun, meningkatkan kandungan ETF interim dan laporan tahunan daripada jenis baharu produk ETF dan keperluan khusus mereka untuk menggalakkan maklumat yang bermakna kepada pemegang unit.

Satu lagi pindaan ialah meningkatkan keperluan pengumuman segera untuk menggalakkan ketelusan yang lebih baik mengenai perkara utama yang tertentu seperti maklumat berkaitan indeks atau petunjuk pasaran yang dijejaki oleh ETF dan perkara penting atau perubahan yang memberi kesan kepada ETF, memperkenalkan kriteria kelayakan untuk pelabur yang berdagang dalam ETF dan memperluaskan rangka kerja PSS yang membolehkan jualan pendek jenis ETF baharu.

Pada masa ini, di bawah rangka kerja PSS, jualan pendek hanya untuk ETF yang berasaskan ekuiti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan berkata pengenalan produk ETF yang inovatif adalah pembangunan yang dialu-alukan bagi pasaran ETF, dan akan membawa kepada ekosistem ETF yang lebih menarik.

“Penambahbaikan untuk rangka kerja ini melengkapi inisiatif pembangunan pasaran kami yang sedang dilaksanakan untuk menyediakan ekosistem yang cekap dan berkesan untuk ETF dan produk yang pelbagai untuk pelabur.

“Kami berjaya mencapai lebih 15,700 pelabur melalui 165 bengkel dan seminar ETF terutama sejak dua tahun lalu,” katanya.

Pindaan ETF berkuat kuasa 2 Jan, 2019 dan seterusnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.