HDC komited sokong aspirasi ekonomi berpendapatan tinggi

Berita Harian - - BISNES -

Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) komited kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi ekonomi bernilai tambah dan berpendapatan tinggi, serta mengukuhkan hubungan dengan ekonomi serantau dan antarabangsa yang akan terus menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi Islam global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamil Bidin, berkata ekonomi Islam kini semakin diterima pada peringkat global untuk menjadi sebahagian daripada sistem antarabangsa.

Katanya, ia kini dalam proses pembangunan yang mana berpeluang untuk memperluaskan lagi penyertaan masyarakat antarabangsa.

“Ini akan meningkatkan hub- ungan di antara kedua-duanya iaitu di dalam dan antara rantau ekonomi di dunia.

“Dalam meningkatkan hubungan baharu ini dan integrasi yang lebih besar, ekonomi Islam dijangka menyumbang ke arah membuka peluang baharu yang akan membawa faedah bersama dan dengan itu, menyediakan penyelesaian kewangan beretika dan model tanggungjawab sosial kepada pasaran kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Forum Kepemimpinan Dunia Muslim ke-4 sebagai panel penceramah bertajuk Ekonomi Halal dan Kewangan Islam - Memacu Ekonomi Global Baharu: Bagaimana Ekonomi Halal Dan Kewangan Islam Menyumbang kepada Ekonomi Global? di London.

Lebih daripada 200 perwakilan menghadiri forum itu, termasuk perwakilan antarabangsa dan tempatan.

HDC ketuai delegasi

Forum yang diadakan di Lambeth Palace & House of Commons, Westminster London itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyampaikan ucap tama dan turut hadir dalam sesi bertajuk Peranan Wanita Dalam Mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG) menjelang 2030.

Sesi panel itu dikendalikan oleh Ketua Kewangan dan Pelaburan Islam Takaud Savings and Pensions (DIFC) Ltd, Sharjil Ahmed.

Ahli panelnya pula ialah Ketua Eksekutif Yayasan Zakat Negara (NZF), Iqbal Nasim; Pengerusi Pusat Pengajian Islam, Universiti Nasional, Indonesia, Prof Fachruddin Mangunjaya; Sultan Ahmed Choudhury OBE dari Al Rayan Bank dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

HDC mengetuai delegasi dari Malaysia bersama-sama dengan peserta industri halal lain termasuk QSR Brands (M) Holdings Bhd, CCM Duopharma Biotech Bhd, Echo Foxtrot Sdn Bhd (Honestbee) dan Natural Wellness Industries Sdn Bhd.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.