Musibah dekatkan dua jiwa

Daripada teman biasa, Awi dan Atikah bakal jadi suami isteri Mac depan

Berita Harian - - B*POP - Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Jodoh dan pertemuan sememangnya sukar untuk diramal. Kata orang, ia antara perancangan Tuhan yang tiada siapa pun mengetahuinya. Begitu juga dengan dua selebriti dari seberang, Awi Rafael, 32, dan Atikah Suhaime, 27. Ujian yang menerpa dalam hidup bagai menyatukan dua jiwa berkenaan.

Jika penyanyi Kalau Aku Kaya dan Manusia Sempurna itu diuji dengan kemalangan yang hampir meragut nyawa, aktres cantik terbabit pula berdepan kontroversi yang mencalarkan imejnya.

Andai bukan kerana dugaan berkenaan, mungkin mereka tidak menyedari jodoh ada di depan mata.

Hakikatnya, dua bintang kelahiran Singapura itu kenal intan dan permata ketika ditimpa musibah. Namun, tiada siapa menduga musibah mengeratkan hubungan mereka, daripada teman baik kepada pasangan kekasih bak Romeo dan Juliet.

Kedua-duanya bertunang pada 17 Mac lalu. Pasangan sama cantik, sama padan ini akan disatukan sebagai suami isteri pada 17 Mac depan, di Kota Singa.

Hati dijentik di Jakarta

Sambil merenung jauh, penyanyi itu mengakui: “Atikah hadir dalam hidup saya pada masa dan waktu yang tepat. Saya tidak pernah memikirkan apa-apa selama enam tahun mengenalinya.

“Saya ikhlas berkawan dengannya, tanpa meletakkan sebarang harapan. Bagaimanapun, perasan halus hadir ketika saya dan Atikah berada di Jakarta, Indonesia, pada November tahun lalu. Hanya tiga bulan menyelami dirinya, hati saya kuat mengatakan inilah jodoh yang ditakdirkan. Saya ingin sehidup semati dengannya kerana Allah.

“Mungkin dilihat seperti terburu-buru, tetapi atas doa dan ketetapan Allah, Atikah hadir tepat pada waktunya. Saya mahu menjadi suami yang boleh menjaga nama dan menebus maruah serta martabat seorang wanita yang teraniaya sepertinya.”

Gadis tabah

Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi

Ewan Gunawan Rafael berkata, Atikah memiliki ciri-ciri wanita idamannya, iaitu ringkas dan cantik, tetapi tidak perasan dirinya menawan.

“Seperti saya menerima dirinya seadanya, Atikah juga menerima baik dan buruk saya. Diri ini mahu menjadi lelaki budiman. Episod duka yang berlaku pada Atikah dulu tidak pernah dibincangkan secara mendalam. Bagi saya, kita harus menutup aib seseorang. Bukan apa, saya takut aib kita pula dibuka di akhirat nanti.

“Atikah, bagi saya, seorang gadis tabah dengan ujian hidup. Walaupun pernah diaibkan hingga menanggung malu berpanjangan, dia masih berjuang meneruskan hidup,” katanya.

Masing-masing ada kisah silam

Menurut Awi, tunangnya sanggup kembali hidup seperti orang biasa. Selama enam bulan, gadis itu turun naik bas dan tren setiap hari ke tempat kerja, ketika dirinya meninggalkan dunia lakonan buat seketika.

“Dia mengetepikan perasaan malu demi mencari sesuap nasi buat keluarga. Orang buka aibnya, tidak mengapa. Kini, saya ada di sebelahnya.

“Jadi, biarlah kisah dulu tidak diungkit kembali.

Kami hidup bukan berpaksikan kisah lalu. Saya juga punya kisah silam yang masih berbekas sehingga hari ini,” katanya sambil menunjukkan kesan tatu yang terpahat di tangannya.

Ibu hulurkan restu

Bekas graduan jurusan Undang-undang & Pengurusan, Politeknik Temasek Singapura itu berkata, lebih menguatkan hati dan perasaannya apabila ibu merestui hubungannya dengan Atikah.

“Saya pernah membawa ibu beraya di rumah keluarga Atikah di Singapura, kira-kira dua tahun lalu.

Ibu bersuara, dia sukakan Atikah. Sambil ketawa saya memberitahunya, Atikah hanya kawan dan usahlah berfikir macam-macam.

“Bagaimanapun, ibu seperti sudah dapat mengagak siapa gadis pilihan pada hari sepatutnya saya melakukan kejutan untuk memaklumkan diri ini sudah bersedia untuk bertunang dan berkahwin.

“Saya sebaliknya yang terkena kejutan. Belum sempat membuka mulut, ibu sudah meneka, adakah gadis itu Atikah? Saya menangis mendengarnya. Gerak hati ibu saya sangat tepat,” katanya.

Jodoh tiba saat berhijrah

Awi berkata, dia bertemu ketulusan cinta ketika dirinya dalam fasa untuk berubah dan berhijrah.

“Segala-galanya bermula apabila saya ditimpa kemalangan yang hampir meragut nyawa. Saya umpama mati hidup semula, tetapi saya tidak menceritakan kejadian misteri ini kepada orang lain.

“Ketika dilanggar, badan saya melambung tinggi. Dalam keadaan separuh sedar, pandangan saya terarah ke langit. Saya dengar surah Yasin dibacakan di telinga dan terus pengsan. Sejak itu, saya diuji dengan kesakitan. Selama hampir setahun saya berehat dan trauma mengingatkan kejadian berkenaan.

“Allah seperti menjentik saya supaya berubah. Ya, saya berubah sejak kejadian berkenaan. Saya perlahanlahan mendekatkan diri pada Allah Yang Esa,” katanya yang mewujudkan Kumpulan NewSantara apabila bergabung dengan pemain bes Dewa

19, Yuke, dan pemain dram kumpulan Kotak, Posan, untuk melebarkan sayap nyanyian di Indonesia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.