Westside III di Desa Parkcity siap dua bulan lebih awal

Berita Harian - - HARTANAH -

GDB Holdings Bhd (GDB) terus mengekalkan reputasi baik dengan kemampuannya menyiapkan pembangunan hartanah, Westside III di Desa Parkcity, Kuala Lumpur, dua bulan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.

GDB dianugerahkan kontrak bernilai RM245 juta oleh Perdana Parkcity Sdn Bhd untuk membina kondominium 49 tingkat di Westside III, iaitu struktur bangunan tertinggi di Desa Perbandaran Parkcity.

GDB juga sebelum ini menerima penyerahan kontrak oleh Perdana Parkcity bagi pembinaan One Central Park, iaitu kondominium 45 tingkat dan ia berjaya disiapkan tiga bulan lebih awal daripada yang dijadualkan pada Oktober 2016.

Lebih komited

Pengarah Urusan GDB, Cheah Ham Cheia, berkata penyiapan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan bagi kedua-dua projek iu membuktikan keyakinan syarikat lain terhadap kemampuan GDB.

“Mereka meletakkan kami pada satu tahap lebih baik dan kami berharap akan ada lebih banyak kerjasama dengan syarikat berkenaan pada masa depan.

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus memberikan komitmen terhadap perkhidmatan kami sekali gus mengekalkan reputasi syarikat dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu katanya, GDB juga mensasarkan untuk meningkatkan lagi jumlah kontrak dalam tangan syarikat yang kini berjumlah RM613.7 juta sehingga 30 September 2018.

“Kami yakin, dengan rekod prestasi yang baik terutama bagi aspek kualiti, keselamatan dan penyiapan kontrak (projek) lebih awal dari tempoh ditetapkan akan meningkatkan lagi daya saing syarikat pada masa depan.

“Meskipun berdepan dengan pasaran mencabar, kami berusaha untuk menterjemahkan keupayaan syarikat kepada prestasi lebih positif,” katanya.

Firma perkhidmatan pembinaan itu yang disenaraikan di Pasaran ACE Mac lalu, merekodkan pendapatan dan keuntungan bersih masing-masing pada RM55.7 juta dan RM6.8 juta pada suku ketiga 2018, berakhir 30 September 2018.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.