Jualan Mercedes-benz dijangka meningkat

CCBB yakin pendapatan melonjak menerusi perancangan inisiatif baharu

Berita Harian - - BISNES - Oleh Alzahrin Alias

Pengedar sah Mercedes-benz, Cycle & Carriage Bintang Bhd (CCBB) yakin mampu meningkatkan pendapatannya dalam segmen jualan kenderaan mewah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wilfrid Foo, berkata walaupun pasaran automotif agak tidak menentu tetapi bagi segmen kenderaan mewah ia masih menunjukkan peningkatan.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin industri automotif akan terus meningkat tahun depan terutama bagi segmen kenderaan mewah seperti Mercedes-benz.

“Pada suku ketiga tahun ini, kami mencatatkan peningkatan dua angka dalam jualan dan perkhidmatan selepas jualan di semua rangkaian CCBB.

“Jadi secara keseluruhannya, kami optimis akan mampu meningkatkan pendapatan syarikat ditambah dengan beberapa inisia- tif baharu yang dirancang,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan penyelenggaraan bergerak Mercedes-benz Star Mobile.

Perkhidmatan bergerak

Star Mobile adalah perkhidmatan bergerak untuk pemilik kenderaan Mercedes-benz bagi penyelenggaraan berjadual, penggantian bilah pengelap, penggantian bateri dan kunci inframerah tanpa perlu ke pusat servis.

Foo berkata, perkhidmatan penyelenggaraan bergerak Star Mobile yang menggunakan model Mercedes-benz Vito ketika ini perkhidmatannya hanya di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, perkhidmatan ini masih diperingkat percubaan untuk mendapat maklum balas dan keperluan pelanggan mereka.

“CCBB bersama Mercedesbenz Malaysia Sdn Bhd ingin mendapatkan sebanyak mungkin maklum balas dan apa yang dimahukan pelanggan kami.

“Masih tiada sasaran bila ia akan dikembangkan dan keperluan menambah kenderaan Star Mobile. Semuanya masih bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya.

Sempena dengan pelancarannya itu, bagi tiga bulan pertama, pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan Star Mobile akan dikecualikan yuran perkhidmatan.

Pelanggan boleh menjadualkan temujanji dengan pengedar CCBB di Lembah Klang untuk menikmati perkhidmatan Mercedes-benz Star Mobile.

[ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM / BH ]

Dari kiri; Pengurus Besar selepas Jualan CCBB, Andrew Lim; Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Mercedesbenz Malaysia, Emily Lek dan Foo selepas melancarkan perkhidmatan penyelenggaraan bergerak Mercedes-benz Star Mobile, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.