Mangsa nahas maut tercampak dari bas

Berita Harian - - JENAYAH -

Seremban: Seorang maut, manakala lima lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah bas dua tingkat dengan lori di Kilometer 269 Lebuh Raya Utara-selatan (PLUS) arah utara, di sini, semalam.

Dalam kemalangan pada jam 11.50 pagi, wanita warga Singapura, Serina Mat Idris, 27, yang tercampak dari tingkat atas bas berkenaan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu dan tiga penumpang bas yang dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands itu serta kelindan lori terbabit, cedera ringan.

Bagaimanapun, pemandu lori dan 15 penumpang lain bas berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Meninggal di lokasi nahas

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.53 pagi sebelum bergegas ke lokasi bersama 18 anggota serta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Seremban dan Senawang.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati mangsa tercampak sudah meninggal dunia, sementara pemandu bas berusia 44 tahun pula tersepit di tempat duduk.

“Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan pemandu bas yang tersepit,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Norazam berkata, mayat mangsa dan mereka yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.