Berita Harian

‘Usah sisih anggota bukan Islam’

-

Ipoh: Ahli dan pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) diingatkan supaya tidak menyisihka­n anggota bukan Islam dan menganggap mereka sebagai golongan kelas dua dalam parti itu.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata mereka yang ingkar tidak layak menjadi anggota AMANAH.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kehadiran anggota bukan Islam dalam AMANAH perlu diterima dan dihargai sebaiknya kerana bukan sesuatu yang mudah untuk mereka bersama parti itu yang memperjuan­gkan Islam.

“Saya bagi amaran jika ada mana-mana aduan sisihkan mereka (anggota bukan Islam) dengan anggap tiada hak kerana bukan Islam, jaga-jaga kamu, kamu tidak layak jadi (anggota) AMANAH.

Bukan Islam ada hak beri pandangan

“Saya benar-benar tegaskan perkara ini,” katanya ketika menyampaik­an ucapan penangguha­n dan penggulung­an pada Konvension­al AMANAH Nasional 2018, di sini, semalam.

Mujahid berkata, walaupun bukan Islam, namun anggota berkenaan mempunyai hak memberi pandangan terhadap parti.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden AMANAH, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, parti itu sentiasa bersama warga FELDA dan akan memastikan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dapat mengemukak­an secepat mungkin agenda melatih peneroka.

“Ia bagi memastikan mereka boleh berdikari untuk mengurus 4.1 hektar tanah, mendidik mereka selepas kerajaan lama gagal berbuat demikian,” katanya.

Pada masa sama, Hasanuddin berharap kerajaan tidak memberhent­ikan wang saraan kepada peneroka FELDA secara mengejut demi kebajikan mereka.

Selain itu, beliau berkata, adalah penting untuk kerajaan menunjukka­n komitmen membantu menyelesai­kan masalah warga FELDA.

“Memang kita ada menghantar orang korporat kepada mereka, tetapi jangan disebabkan sikap korporat itu, kita menafikan kebajikan warga peneroka yang sepatutnya kita jaga dan belai mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia