Berita Harian

30,000 hadir meriahkan Festival Jland

Program sempena ulang tahun ke-50 Jcorp promosi produk hartanah, rapatkan ukhuwah

- Oleh Mary Victoria Dassmary

Bertemakan Raikan Kemeriahan, Lestarikan Kehidupan, Festival Jland 2018@Bandar Dato' Onn yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Johor Corporatio­n (Jcorp), menerima sambutan 30,000 pengunjung di tapak ekspo Bandar Dato' Onn, di sini.

Festival yang berlangsun­g tiga hari bermula Jumaat lalu mulai 8 pagi hingga 11.30 malam, dikunjungi penduduk dari seluruh Johor, Melaka, Kuala Lumpur dan Singapura.

Pengurus Besar Jabatan Pemasaran dan Dokumentas­i Jualan Johor Land (Jland), Mohd Hizam Abdul Rauf berkata, festival berkenaan bukan sahaja untuk mempromosi produk hartanah dan kawasan kediaman dibangunka­n, malah menjadi platform untuk membina ukhuwah serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Pelbagai aktiviti menarik

“Antara pengisian program adalah pameran syarikat Kumpulan Jcorp, agensi kerajaan dan swasta. Aktiviti yang menerima sambutan ramai, termasuk belon udara panas, e-sports challenge, jualan food truck dan larian Green Run.

“Tarikan lain termasuk tayangan big screen perlawanan akhir 2 Piala Suzuki AFF 2018 dan konsert artis seperti Ruffedge, Ismail Izzani dan Siti Sarah yang diadakan serentak," katanya.

Festival itu dirasmikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankua­sa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar ketika tayangan perlawanan bola sepak.

Penganjur turut menyediaka­n 2,000 cawan teh tarik percuma sempena tayangan perlawanan bola sepak selain mengadakan kuiz Ola Bola yang menawarkan hadiah istimewa.

Sasar jualan RM50 juta

Mohd Hizam berkata, Jland juga menyasar mencapai nilai jualan hartanah RM50 juta sempena festival berkenaan.

Katanya, antara hartanah dan unit kediaman yang akan dipromosik­an, termasuk di Bandar Dato' Onn, Taman Bukit Dahlia di Pasir Gudang, Taman Mutiara Gading di Batu Pahat dan Bandar Tiram.

“Ia termasuk bangunan komersial selain rumah teres bertingkat, semi-d dan banglo.

“Pelbagai tawaran hebat untuk pelanggan yang membeli hartanah dan unit kediaman termasuk rebat tunai antara RM2,000 hingga RM10,000 selain hadiah barangan elektrik percuma,” katanya.

Suri rumah, Sadiah Mahayat, 50, berharap Jland menjadikan program berkenaan sebagai aktiviti tahunan.

“Penganjura­nnya pada cuti sekolah membolehka­n ibu bapa meluangkan masa bersama anak serta terbabit dalam aktiviti berfaedah,” katanya.

Sementara itu, guru, Siti Istiqomah Basan, 26, mendapati aktiviti di sini sesuai bagi setiap lapisan masyarakat.

 ?? [FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN /BH] ?? Amran bersama peserta sebelum memulakan acara larian 5 kilometer, pada majlis Festival Jland di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
[FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN /BH] Amran bersama peserta sebelum memulakan acara larian 5 kilometer, pada majlis Festival Jland di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia