Berita Harian

Pemborong, peniaga mungkin berpakat kawal harga: FOMCA

-

Kuala Lumpur: Isu kenaikan harga telur ayam sejak pertengaha­n bulan lalu menimbulka­n keresahan pengguna kerana harganya naik secara mendadak atas alasan kos makanan ayam mahal dan peningkata­n kos utiliti penternak ayam.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata keadaan itu berlaku mungkin disebabkan ada pakatan antara peniaga dan pemborong mengikut kawasan.

Pembeli sukar bandingkan harga

Katanya, apabila wujud pakatan harga ditentukan mereka, semua peniaga terbabit akan menjual telur pada harga hampir sama dan pengguna tidak boleh membuat perbanding­an harga.

“Kekurangan bekalan telur ayam kerana banyak dieksport ke luar negara kerana permintaan agak tinggi dan mungkin lebih menguntung­kan, sekali gus memberi kesan kepada kenaikan harga dalam negara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Gesa MYCC campur tangan

Mohd Yusof berkata, dalam menangani isu ini, Suruhanjay­a Persaingan Malaysia (MYCC) mesti memainkan peranan menyiasat, sama ada wujudnya kartel atau sebaliknya.

“Jika didapati wujud kartel, ia menyalahi dari segi persaingan dan mereka terbabit perlu dikenakan tindakan tegas.

“Mereka yang memanipula­si harga mungkin melihat MYCC tidak bertindak tegas, jadi mereka berani melakukann­ya, sedangkan denda dikenakan terhadap pesalah agak tinggi,” katanya.

Semua peniaga terbabit menjual telur pada harga hampir sama dan pengguna tidak boleh membuat perbanding­an harga” Mohd Yusof Abdul Rahman, Timbalan Presiden FOMCA

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia