Ferrari tiada cukai jalan 10 tahun dikesan
Gombak: Op Khas Bersepadu Genting, di Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK), di sini, semalam mengesan sebuah kereta Ferrari yang tidak pernah memiliki cukai jalan selama 10 tahun.
Operasi diadakan dua hari bermula pagi kelmarin di dua lokasi, iaitu di Plaza Tol Gombak dan Jalan Batang Kali-genting itu menyaksikan 572 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua JSPT Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata operasi memberi tumpuan kepada kenderaan membabitkan kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi dikesan menjadikan lebuh raya berkenaan sebagai litar lumba ketika hujung minggu.
“Operasi ini turut dibantu anggota JSPT Bukit Aman, selain disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Gombak, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JPJ. Hasilnya pihak polis mengeluarkan 355 saman membabitkan pelbagai kesalahan.
“Sebanyak 94 saman membabitkan kesalahan lesen memandu, 31 saman kerana tiada cermin sisi, kesalahan membabitkan cukai jalan sebanyak 54 saman, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi 90 saman, 12 saman kesalahan tali pinggang keledar, enam kesalahan menggunakan lorong kecemasan, 15 saman bagi kesalahan lesen P dan L serta 49 saman kerana lain-lain kesalahan,” katanya ketika sidang media selepas operasi semalam.
Lapan lelaki ditahan
Beliau berkata, sebahagian daripada saman dikeluarkan itu dikenakan terhadap pemilik dan pengguna motosikal berkuasa tinggi serta kereta mewah yang dikesan ‘tidak cukup sifat’.
“Dalam operasi ini juga pihak polis turut menahan lapan lelaki kerana kesalahan membabitkan dadah, memandu secara berbahaya, memandu di bawah pengaruh alkohol dan menggunakan nombor pendaftaran palsu, manakala seorang wanita Vietnam turut ditahan kerana tiada dokumen perjalanan sah.
“Pihak JPJ mengeluarkan 217 saman membabitkan pelbagai kesalahan. Manakala pihak AADK melakukan ujian air kencing terhadap 75 individu dan 16 daripada mereka ditahan selepas didapati positif dadah,” katanya.