Kahwin serentak 3 anak lebih meriah
Jimat kos adakan kenduri
“Bukan setakat lebih menjimatkan, malah majlis diadakan serentak seperti ini menjadikannya lebih meriah,” kata Mahmood Darmin,73, yang meraikan majlis perkahwinan tiga anak lelakinya secara serentak di FELDA Bukit Tongkat, dekat sini, semalam.
Mahmood berkata, majlis itu membabitkan anak keduanya, Mohd Mahadi, 36, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama pasangannya, Fazatul Shafiqah Mohd Afendi, 22, dan anak kelima yang juga anggota tentera dari Batalion ke 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD), Mohamad Rahmat, 31, dengan pasangannya, Nabilah Jailani, 30.
Katanya, majlis itu turut meraikan perkahwinan anak lelaki ketujuhnya yang juga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohamad Khuzairi, 25, dengan pasangan Nurfazira Panun, 22.
Beliau berkata, tiga anak lelakinya sudah menjalankan acara akad nikah dan majlis di pihak perempuan masing-masing pada 10 November, 8 Disember dan Jumaat lalu sebelum beliau memutuskan membuat majlis menyambut menantu serentak semalam.
Sambut menantu serentak
“Daripada tiga pernikahan dalam tempoh dua bulan ini, timbul idea menyambut menantu secara serentak dan ia mendapat sokongan anak, apatah lagi majlis seumpama ini lebih menjimatkan perbelanjaan,” katanya ditemui sebaik majlis berakhir.
Mahmood berkata, bukan untuk bermegah kerana dapat menyambut tiga menantu serentak, namun tindakan itu lebih kepada usaha berjimat berikutan kos perbelanjaan semakin meningkat sekarang.
Sementara itu, Mohamad Khuzairi berkata, majlis ini menjadi sejarah hidup yang tidak dapat dilupakan.