Wickremesinghe PM semula
Angkat sumpah jawatan akhiri krisis politik Sri Lanka
Ranil Wickremesinghe mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Sri Lanka semalam yang disifatkan satu kebangkitan semula beberapa minggu selepas disingkirkan oleh Presiden Maithripala Sirisena secara kontroversi.
Pelantikan semula Wickremesinghe dijangka menamatkan krisis politik yang bermula lewat Oktober lalu apabila beliau secara mengejut dipecat.
Sekali gus juga, pelantikan semula itu dianggap sesuatu yang memalukan Sirisena yang menggantikan Wickremesinghe dengan bekas Presiden Mahinda Rajapaksa kerana berbalah mengenai dasar dan isu lain.
Bagaimanapun, Rajapaksa gagal mendapat majoriti undi di Parlimen dan meletakkan jawatan kelmarin menjelang tempoh penutupan kerajaan jika tiada penyelesaian dicapai.
Sirisena berulangkali menyatakan beliau tidak akan melantik semula Wickremesinghe sebagai Perdana Menteri.
Tetapi, beliau terpaksa mengubah pendirian untuk mendapatkan sokongan Parlimen bagi bajet sementara yang memerlukan kelulusan menjelang 1 Januari depan.
Demokrasi menang
“Ini adalah kemenangan bagi institusi demokratik dan kedaulatan warga negara ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mempertahankan Perlembagaan dan memastikan demokrasi menang,” kata Wickremesinghe dalam satu tweet.
Beliau kemudian memberitahu penyokongnya di kediaman rasmi bahawa beliau akan memastikan keadaan ekonomi lebih baik, taraf hidup lebih baik bagi penduduk Sri Lanka selepas mengusahakan proses pemulihan negara.
Majlis mengangkat sumpah itu diadakan secara tertutup kepada media dan hanya beberapa ahli perundangan daripada blok parti pimpinan Wickremesinghe hadir, kata pegawai di pejabat presiden.
Wickremesinghe yang tidak dapat menamatkan mandatnya pada penggal pertama sebagai Perdana Menteri dilantik ke jawatan itu buat kali ke-lima.
Parlimen mengundi untuk mengurangkan bajet kepada Rajapaksa dan menterinya selepas Sirisena enggan menerima uusl tidak percaya ke atas Rajapaksa atas alasan beliau tidak mengikut prosedur.
Ahli Parlimen Sri Lanka sudah meluluskan usul menaruh keyakinan kepada Wickremesinghe.