Israel jumpa terowong ke-4 Hizbullah
Baitulmaqdis: Tentera Israel menemui satu lagi terowong pejuang Hizbullah, dari Lubnan ke wilayah negara Yahudi itu.
Terowong itu adalah yang keempat yang bertujuan menjadi tempat melancarkan serangan di wilayah Israel, menurut kenyataan tentera Zionis, semalam.
Israel mendakwa, pejuang Hizbullah yang mendapat sokongan Iran itu telah menggali beberapa terowong untuk melakukan serangan mengejut di negara Yahudi berkenaan jika berlaku konflik pada masa depan.
Berikutan itu, mereka sedang berusaha untuk memusnahkan semua terowong berkenaan.
Terowong terbaru yang ditemui pada hujung minggu lalu adalah di utara Israel, menurut kenyataan itu lagi.
Seperti juga terowong lain, tentera Yahudi meletakkan beberapa bahan letupan di situ bagi menghalang pejuang cuba menggunakannya untuk masuk ke Israel dari Lubnan.
Pihak tentera Israel, bagaimanapun, enggan memberitahu lokasi tepat terowong itu atas alasan ia belum lagi memberi ancaman besar.
Pada 4 Disember lalu, tentera Israel mengumumkan ia sedang melancarkan operasi ‘Perisai Utara’, bertujuan memusnahkan terowong Hizbullah di sempadan.
Tidak letak senjata
Israel terbabit dalam perang dengan pejuang Hizbullah pada tahun 2006 yang hanya terhenti selepas gencatan senjata dipersetujui hasil bantuan rundingan Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB).
Hizbullah adalah satu-satunya kumpulan di Lubnan yang tidak meletakkan senjata selepas perang saudara negara itu berakhir, meliputi tempoh daripada 1975 hingga 1990.
“Kerajaan Lubnan bertanggungjawab jika ada serangan dilakukan dari terowong yang digali di sebelah wilayahnya. Ini adalah satu lagi pelanggaran Resolusi 1701 PBB dan mencabul kedaulatan Israel,” menurut kenyataan tentera Yahudi itu, merujuk kepada resolusi menamatkan perang berkenaan pada 2006.
Rabu lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata pengaman PBB di selatan Lubnan (UNIFIL) dan masyarakat antarabangsa sepatutnya mengambil langkah lain bagi menyekat keganasan Hizbullah ke atas Israel.
UNIFIL telah mengesahkan kewujudan dua daripada terowong yang ditemui Israel.