Majlis daerah semporna dikecam guna hukuman memalukan

Perbuatan merendahkan martabat seseorang: Aktivis

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah dan Junaidi Ladjana

Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau mana-mana pihak menghukum individu seperti membuang sampah dengan nama haiwan tidak boleh diterima kerana menyalahi hak asasi manusia.

Aktivis pengguna dan hak asasi manusia Sabah, Datuk Patrick Sindu, berkata tindakan itu seolah-olah merendahkan martabat seseorang individu kerana menyamakannya dengan haiwan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Kalau mahu menghukum atau mendenda seseorang atas kesalahan tertentu seperti membuang sampah, denda sajalah, tak payah menggelar mereka dengan nama haiwan seperti monyet.

“Jika denda mereka mengutip sampah atas nama kerja komuniti, paling baik kalau mereka dipanggil pekerja sukarela. Saya sendiri rela dianggap pekerja sukarela bagi melakukan kerja amal seperti mengutip sampah,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PBT di Semporna menghukum pesalah kutu sampah melakukan kerja komuniti mengutip sampah dengan memakaikan mereka jaket yang tertera perkataan MONYET.

Boleh kemuka bantahan

Mengulas lanjut, Patrick berkata, individu yang diperlakukan seperti itu mempunyai hak untuk melawan dengan mengemukakan bantahan kepada PBT atau pihak berkuasa yang terbabit selain Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

“Setiap individu mempunyai hak asasi mereka sebagai manusia dan ia harus dihormati semua pihak tidak kira sama ada individu terbabit melakukan kesalahan atau tidak.

“Tiada alasan tidak tahu mengenai hak asasi manusia kerana ia adalah perkara asas yang seharusnya diketahui semua pihak. Bayangkan kalau kita yang digelar monyet, tentu kita marah,” katanya.

Terdahulu, di Semporna, seramai 12 individu dikenakan denda melakukan kerja amal mengutip sampah sambil memakai rompi (vest) tertulis perkataan ‘MONYET’.

Hukuman itu dilaksanakan sejak 1 Januari lalu yang mana pemakaian vest hanya terpakai kepada pemegang dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), masyarakat Pala’u dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Rakyat tempatan dan pelancong asing pula dikenakan kompaun mengikut undang-undang kecil Anti-kutu Sampah jika berbuat demikian.

Difahamkan, masalah sampah di Semporna sejak sekian lama didakwa akibat sikap penduduk, khususnya warga asing yang membuang sampah merata-rata, termasuk di kawasan rumah dan pekan.

Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong, berkata sejak dilaksanakan sehingga pagi semalam, seramai 31 orang, termasuk seorang pelancong wanita didapati membuang sampah merata tempat di pekan daerah ini.

“Daripada jumlah itu, 19 orang membayar kompaun RM30 hingga RM500, manakala 12 gagal membayar kompaun dan dikenakan hukuman memakai ves hijau tertulis perkataan MONYET.

Patrick Sindu

Pesalah yang gagal membayar kompaun dikenakan denda mengutip dengan dipakaikan ves di Semporna, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.