Kertas Putih Pertahanan dirangka

Berita Harian - - ISU -

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan dijangka membentangkan satu Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan prinsip dan strategi pertahanan, serta pelan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam sidang Parlimen pada September depan.

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata dokumen itu yang dirangka merujuk garis panduan dan aspek pertahanan negara lain seperti Jepun, New Zealand dan Australia, bertujuan memastikan dasar pertahanan negara dapat menangani cabaran semasa dan akan datang.

Katanya, kertas putih itu berperanan memaklumkan kepada Parlimen dan rakyat, berhubung cabaran semasa kementerian.

“Usaha ini bukan bermakna mendedahkan keseluruhan kepentingan strategik dan rahsia ATM, tetapi ke arah meningkatkan ketelusan serta kefahaman masyarakat, terhadap kepentingan pertahanan dan keselamatan.

Bantuan Wira Negara

“Ia sekali gus mengajak mereka turut sama menggalas tanggungjawab mempertahankan negara, selaras konsep Pertahanan Menyeluruh atau Hanruh,” katanya selepas majlis Perutusan Khas Menteri Pertahanan 2019 di Dewan Perkasa Wisma Perwira ATM di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Manaf dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan sedang merangka skim kebajikan dikenali Bantuan Wira Negara bagi membantu anggota tentera yang memerlukan.

Katanya, bantuan itu merangkumi sumbangan makanan asas seperti beras, gula dan minyak masak.

“Ia secara tidak langsung meningkatkan moral anggota ATM, selain kaedah mengiktiraf jasa dan pengorbanan mereka.

“Skim ini pada peringkat kajian dan akan dibincangkan ketika Majlis Veteran Angkatan Tentera (MVAT) pada Februari ini.

“Jawatankuasa juga sudah dibentuk dan butiran atau bentuk bantuan juga akan diperincikan lagi. Jika ada sebarang perkembangan, kita akan umumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mohamad berkata, kementeriannya akan mengaktifkan kembali peranan MVAT selepas enam tahun tidak digerakkan.

“Harapannya supaya MVAT dapat memberi impak besar kepada golongan veteran dan pesara tentera. Ia menjadi saluran kepada mereka untuk menyuarakan pendapat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM70.5 juta bagi penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

“Tambahan RM50 juta turut disediakan bagi menaiktaraf dan penambahbaikan kuarters Kementerian Pertahanan.

“Peruntukan mesti dibelanja sebaiknya bagi memastikan kesejahteraan anggota tentera dan keluarga terjaga,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.