Kerajaan pertimbang kaji semula COLA

Berita Harian - - ISU -

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia akan mempertimbang untuk mengkaji semula elaun kos sara hidup (COLA) bagi pegawai kerajaan, kata Menterinya, M Kula Segaran.

Kali terakhir COLA untuk pegawai kerajaan dikaji semula ialah pada 2012 dengan jumlah ditetapkan RM300, RM250 dan RM150, yang tertakluk kepada lokasi penempatan.

“Saya akan mempertimbangkannya,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbang untuk mengkaji semula COLA, bagi pegawai kerajaan yang kini menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kolektif baharu, antara Persatuan Bank Komersial Malaya dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank di sini, semalam.

Pelarasan gaji pekerja bank

Menerusi perjanjian itu, kirakira 20,000 pekerja bank merangkumi kategori kerani dan bukan perkeranian dari 20 bank akan menerima pelarasan gaji antara 10 hingga 12 peratus.

Elaun sara hidup kepada pekerja bank dinaikkan kepada RM600 daripada RM400, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Mengenai kontroversi pembelian harta di Bangsar South oleh Human Resources Development Fund (HRDF) yang dibuat tanpa pengetahuan anggota lembaga (HRDF), beliau berkata, pihak pengurusan atasan pertubuhan itu perlu menyelesaikannya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata, kerajaan berusaha gigih untuk menghapuskan gejala dan amalan rasuah yang berlaku sebelum ini.

Sebuah akhbar harian melaporkan penyalahgunaan kuasa dan salah guna pengurusan dana dalam HRDF, ke atas pembelian harta di Bangsar South empat tahun lalu yang dilakukan tanpa pengetahuan anggota lembaga dan panel pelaburannya.

HRDF dilaporkan membelanjakan RM154 juta, termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk harta berkenaan dan sudah membayar RM40 juta sebelum penyerahan invois cukai.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, akhbar harian itu mendakwa lembaga pengarah HRDF sudah meluluskan pengambilalihan satu lagi harta, juga terletak di Bangsar South bernilai RM141 juta sebelum GST.

Kementerian Sumber Manusia akan pertimbang mengkaji semula COLA bagi pegawai kerajaan” M Kula Segaran, Menteri Sumber Manusia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.