Pekerja bank nikmati kenaikan 12 peratus

Gaji permulaan kerani bank RM2,400 sebulan

Berita Harian - - ISU - Oleh Hazwan Faisal Mohamad

Gaji permulaan kerani bank kini RM2,400 sebulan, tidak termasuk bonus kontrak dua bulan yang dibayar pada Disember setiap tahun.

Ia susulan Perjanjian Bersama (CA) baharu antara Persatuan Bank Komersial Malaysia (MCBA) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) yang menyaksikan hampir 20,000 kakitangan bank di seluruh negara menikmati kenaikan gaji sehingga 12 peratus.

CA untuk tempoh dari 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020 itu membabitkan kakitangan dalam kategori perkeranian dan bukan perkeranian di 20 bank di Malaysia.

Di bawah perjanjian itu, ahli MCBA akan menawarkan pelarasan gaji sebanyak 12 peratus kepada semua kakitangan bukan perkeranian dan 10 peratus untuk kakitangan perkeranian, tertakluk kepada gaji maksimum dalam jajaran gaji masing-masing.

Selain pelarasan gaji itu, gaji permulaan untuk kumpulan kakitangan berbeza yang termasuk dalam CA berkenaan juga meningkat antara 12 hingga 16 peratus dengan gaji maksimum ditingkatkan sehingga 16 peratus.

Bank juga akan menaikkan elaun sara hidup (COLA) semasa dari RM400 kepada RM600 bermula bulan ini.

Kadar faedah sifar peratus

Ini menjadikan pakej CA baharu itu antara yang paling kompetitif di pasaran dan jauh lebih baik dibandingkan dengan kajian dilakukan Institut Penyelidikan Khazanah Research yang mendedahkan gaji permulaan sebenar yang diminta oleh graduan baharu tamat pengajian RM1,846.

Selain itu, manfaat utama dan paling penting ditawarkan CA baharu ialah semua ahli bank bersetuju untuk menawarkan kakitangan masing-masing kadar faedah sifar peratus bagi RM100,000 pertama pinjaman perumahan berkuat kuasa 1 April depan.

Kadar sifar peratus itu juga terpakai untuk kakitangan yang sudah mempunyai pinjaman sedia ada.

CA baharu itu ditandatangani Presiden MCBA, Nora Abd Manaf dan Pengarah Eksekutifnya, Lam Yoo Yuen, bagi pihak MCBA manakala NUBE diwakili Presidennya, Tan Eng Hing dan Setiausaha Agungnya, J Solomon, dengan disaksikan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Bank Malaysia, Datuk Abdul Farid Alias dan Setiausaha Agung Kesatuan Organisasi Rantau Asia bagi Bank, Insurans dan Kewangan, MR Shah.

Tiada campur tangan kerajaan

Sementara itu, Kulasegaran pada sidang media di majlis itu, berkata CA berkenaan menjadi penanda aras kepada keseluruhan industri di Malaysia apabila perjanjian berkenaan berjaya dimeterai tanpa membabitkan pihak ketiga.

“Ini sesuatu yang memberangsangkan apabila kerajaan tidak perlu masuk campur dalam perjanjian ini. Ia seperti sudah menjadi sesuatu yang baharu dengan situasi menangmenang antara kedua-dua pihak,” katanya.

Terdahulu, Nora dalam ucapannya berkata, beliau percaya CA baharu itu akan lebih memotivasikan kakitangan bank untuk berusaha lebih keras meningkatkan produktiviti di tempat kerja.

Katanya, pakej keseluruhan imbuhan ditawarkan di bawah CA baharu itu digabungkan dengan peluang pembelajaran dan kerjaya ditawarkan pelbagai bank, akan menjadikan sektor perbankan kekal sebagai industri paling tinggi menarik minat bakat baharu dan terbaik.

“Walaupun bank tidak pernah ragu-ragu untuk berkongsi keuntungan hasil pelaburan perniagaannya dengan kakitangan dan mengambil tanggungjawab besar dalam menyediakan peluang pekerjaan, kami berharap kakitangan yang diwakili oleh kesatuan supaya menunjukkan komitmen dalam bidang tugas mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.