Bapa mengaku bersalah sebabkan dua anak melecur

Mahkamah tetapkan kes disebut semula 12 Februari sebelum putus hukuman

Berita Harian - - MAHKAMAH - Oleh Siti Sofia Md Nasir [email protected]

Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menyebabkan dua anaknya melecur menggunakan air panas pada Disember lalu.

Tertuduh, Edy Noramin Ramli, 41, yang bekerja sebagai jurujual kad prabayar, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan semalam.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan niat mencederakan dengan cara menggunakan air panas sehingga melecur badan terhadap anak perempuannya yang berumur lapan tahun di Flat Kampung Melayu di Air Itam, antara jam 1 pagi hingga 2 pagi pada 28 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Edy didakwa melakukan perbuatan sama kepada anak lelakinya yang berumur sembilan tahun di tempat, waktu, dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

Jaminan RM15,000

Rosnee kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan iaitu larangan mendekati mangsa.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 12 Februari depan bagi menunggu laporan perubatan, sebelum hukuman dapat diputuskan.

Edy diwakili peguam Edmund Anthony Hermon manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yassinnisa Begam Seeni Mohideen.

[FOTO MIKAIL ONG /BH]

Anggota polis membawa Edy Noramin ke Mahkamah Majistrest, Georgetown, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.