Celcom labur RM100J bina pusat kecemerlangan IOT

Syarikat kini bersedia jadi pemacu digital negara

Berita Harian - - BISNES - Oleh Nurhayati Abllah [email protected]

Celcom Axiata Bhd memperuntukan RM100 juta sebagai komitmennya ke arah industri Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Pelaburan bagi tempoh lima tahun itu turut membabitkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Objek Rangkaian Internet (IOT) yang merangkumi pembangunan rangkaian, kandungan, penyelidikan dan ekosistem di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Idham Nawawi, berkata syarikat kini bersedia untuk menjadi pemacu digital negara.

"Celcom sentiasa memainkan peranan penting dan asas dalam membina negara, dengan memiliki liputan rangkaian terluas di Malaysia; menghubungkan yang tidak terhubung; menyediakan peluang sama rata dan keterangkuman di kalangan mereka yang kurang mendapat perkhidmatan selain memberi sumbangan berterusan kepada ekonomi dan masyarakat.

“Pembangunan Pusat Kecemerlangan IOT bagi kumpulan, menandakan komitmen Celcom dalam menyediakan laluan ke arah IR4.0,” katanya pada majlis meraikan ulang tahun Celcom Ke-31 dan perasmian pejabat korporat terbaharunya, @celcom, di Petaling Jaya, semalam.

Perasmian disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Yang turut hadir, Pengerusi Celcom Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Mengulas mengenai pelancaran @celcom, Idham berkata, bangunan baharu berkenaan melambangkan 31 tahun Celcom bersama negara dalam memajukan masyarakat dan membuktikan mereka bersedia untuk menjadi pemacu digital negara.

Bangunan 31 tingkat

Bangunan @celcom adalah binaan setinggi 31 tingkat dengan keluasan 450,000 kaki persegi yang direka dengan persekitaran kerja moden, tangkas dan digital serta mampu menempatkan kira-kira 1,700 kakitangan dari seluruh negara.

@celcom juga menampilkan binaan berteknologi tinggi dengan fasiliti moden untuk memenuhi keperluan sebuah syarikat digital yang berorientasikan data.

Ia juga akan menempatkan Pusat Kecemerlangan IOT Kumpulan Axiata Bhd yang merangkumi 'The [email protected]' dan akademi virtual Celcom baharu, iaitu sebagai hab inovasi digital yang bukan hanya untuk kumpulan, malah bagi Malaysia dan serantau.

Bagi memastikan kelancaran pengalaman atas talian, Celcom pertama seumpamanya di Malaysia dan dunia menggunakan penyelesaian perkongsian Sel Kecil Tertutup 4-transmit-4-receiver (4T4R) dalam bangunan @celcom.

Ia sekali gus menjadi satu lagi pencapaian Celcom selepas menjadi yang pertama di Malaysia memperkenalkan rangkaian 'Lightning Fast LTE', menggunakan penyelesaian liputan luaran 4T4R dan membolehkan penggunaan peranti mudah alih dengan ciri 4x4 multipleinput dan multiple-output (MIMO).

Sementara itu, Gobind berkata pengurangan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia mencapai sasaran seperti ditetapkan pada tahun lalu iaitu sekurang-kurangnya 25 peratus, berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP).

"Sasaran berkenaan dianggap berjaya kerana pengendali perkhidmatan telekomunikasi di negara ini melaksanakan gesaan itu dengan sebaiknya. Saranan kerajaan bagi perkhidmatan internet berhubung menggandakan kelajuan dan mengurangkan harga dapat dilaksanakan,” katanya.

[FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD /BH]

Gobind (tengah) bersama Jamaludin (kiri) dan Idham (dua dari kanan) pada majlis Pelancaran ibu pejabat baharu Celcom di Petaling Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.