Bermazhab supaya tidak bercelaru

Masih ramai tidak fahami proses mengeluarkan fatwa

Berita Harian - - IBRAH - Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

Bermazhab atau mengikut mazhab membolehkan masyarakat awam untuk mengamalkan tuntutan Islam, sekali gus memahami agama dengan lebih mudah dan berdasarkan maksud yang sebenarnya.

Apatah lagi ketidakupayaan majoriti daripada masyarakat untuk mentafsir dan menentukan kedudukan berkaitan dengan ayat al-quran serta hadis dengan betul, memerlukan orang ramai mengikut pandangan yang diutarakan ulama muktabar.

Dalam konteks negara ini, kita mengambil penafsiran berdasarkan mazhab Imam Syafie yang mazhabnya diasaskan dan berkembang sekitar abad ke-14 pada zaman awal Abbasiyah, sebelum masuk ke Nusantara pada abad ke-15 dalam proses pengislaman wilayah seperti Tanah Melayu, Sumatera, Jawa dan Brunei.

Ia dibawa oleh ulama daripada Yaman yang membawa pegangan mazhab Syafie ke alam Melayu termasuk negara kita.

Mazhab lain seperti Maliki, Hanafi dan Hambali pula berkembang serta tersebar ke wilayah lain seperti Parsi dan India, Afrika serta Eropah.

Pensyarah Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata kita berpegang dengan mazhab supaya tidak bercelaru dalam mengamalkan sesuatu ibadat.

“Sekiranya terlalu banyak mazhab digunakan akan menjadikan masyarakat bercelaru hingga perkara berkaitan ibadat tidak dapat disamakan.

“Oleh itu, jabatan agama setiap negeri mengambil peranan penting semua umat Islam di negara ini berpegang kepada mazhab Syafie agar tidak berbalah dalam perkara khilafiah,” katanya.

Elak wujud pertelagahan

Mohd Izhar Ariff berkata, umat Islam di negara ini perlu berpegang kepada pandangan mazhab Syafie untuk mengelak wujudnya perbalahan atau pertelagahan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan perbezaan pendapat antara mazhab adalah dalam isu kecil yang tidak membabitkan persoalan akidah hingga keluar daripada Islam.

“Oleh itu, kita ditekankan untuk terus berpegang kepada mazhab Syafie dan tidak berpindah ke mazhab lain kecuali bagi seseorang yang cukup alim dan mempunyai ilmu secukupnya dan serta menguasai keempat-empat mazhab.

“Allahyarham Dr Wahbah al-zuhayli dalam kitabnya Fiqh al-islami menyatakan tindakan berpindah mazhab tanpa sebarang ilmu atau mengikut suka hati adalah haram, sekali gus menjadikan golongan ini termasuk dalam mempermainkan agama dan syariat,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, dibolehkan unutk menukar mazhab sekiranya disarankan atau difatwakan mufti negeri sekiranya diminta untuk berpindah ke mazhab lain.

“Contohnya dalam beberapa perkara membabitkan soal jual beli dan zakat apabila kita mengambil pandangan selain mazhab Syafie.

“Selain itu, mufti mempunyai kuasa untuk menukar dan memilih mazhab yang sesuai dengan masalah semasa hari ini atas tujuan maslahah yang lebih besar, iaitu untuk menjaga keharmonian negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata, ada hikmah wujudnya empat mazhab berbeza yang menjadi pegangan kepada umat Islam di seluruh dunia sekarang.

Katanya, ia memudahkan ulama kontemporari dan mufti untuk mengeluarkan hukum yang bersifat semasa.

“Hari ini kita lihat banyak masalah berlaku yang tidak terdapat atau dibincangkan ulama terdahulu.

“Bagi menyelesaikannya, ulama hari ini perlu kembali kepada alQuran, hadis, qiyas dan ijmak serta melihat asas yang dipegang keempat-empat mazhab terbabit yang sesuai digunakan.

“Namun ulama terlebih dulu merujuk kepada pandangan mazhab Syafie dan sekiranya ada sebab kukuh, maka boleh berpindah kepada pandangan mazhab lain berdasarkan dalil dan hujah al-quran dan sunnah,” katanya.

Bagaimanapun, timbul kekesalan apabila perkara khilafiah yang berlaku disebabkan perbezaan pandangan ulama mazhab mencetuskan tuduhan sesat.

Ulama terlebih dulu merujuk kepada pandangan mazhab Syafie dan sekiranya ada sebab kukuh, maka boleh berpindah kepada pandangan mazhab lain berdasarkan dalil dan hujah al-quran dan sunnah” Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim,

Pensyarah Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia

Mohd Izhar berkata, ia berpunca daripada sebahagian masyarakat yang tidak mempunyai ilmu tetapi mahu bercakap mengenai agama hingga akhirnya wujud budaya mengkafir dan boleh menyebabkan perpecahan umat.

“Kita jangan mudah menyesatkan atau mengkafirkan manamana pihak yang berpegang dengan mazhab berbeza sebaliknya perlu berlapang dada.

“Malah kita juga perlu berhatihati dalam menggunakan istilah dalam isu khilafiah yang menjadi perbincangan hangat dalam keempat-empat mazhab. Jangan cepat menghukum sebaliknya perlu kajian dan diselidiki secara ilmiah,” katanya.

Contohnya dalam isu bacaan Yasin, tahlil, doa qunut dan talkin yang menjadi amalan umat Islam di negara ini, Mohd Izhar Ariff berkata, mufti negeri tidak pernah mengharamkan atau menghalangnya, sebaliknya mengharuskan berdasarkan sumber hukum yang diterima.

“Tiada isu untuk dibangkitkan kerana ia adalah pegangan mufti dan ahli majlis fatwa yang membenarkan.

“Malah menjadi hak jabatan mufti, majlis agama Islam negeri dan pemerintah negeri untuk meneruskan amalan terbabit atau tidak.

“Sebaliknya orang awam boleh merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Malah pandangan yang tidak membenarkan amalan dilakukan itu juga disebabkan perkara khilafiah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Irwan Mohd Subri, berkata masyarakat masih kurang memahami enakmen pentadbiran Islam negeri yang mempunyai klausa menyatakan Jawatankuasa Fatwa negeri menerima dan mengamalkan keempat-empat mazhab itu.

Cuma jelas Irwan, ia mesti mengikut turutan dengan didahului mazhab Syafie dan sekiranya tidak sesuai baharu boleh diikuti dengan tiga mazhab lain.

“Jawatankuasa fatwa negeri, apabila memutuskan sesuatu hukum walaupun mengikut mazhab mana sekalipun, penelitian dan perbincangan dilakukan merujuk kepada sumber hukum seperti al-quran, hadis, qiyas, dan sumber lain seperti maslahah serta uruf.

“Malah sekiranya tiada pandangan daripada mazhab yang sesuai digunakan untuk dijadikan hukum, jawatankuasa fatwa negeri boleh berijtihad dengan pandangan sendiri,” katanya.

Utamakan mazhab Syafie

Jelas Irwan, masyarakat perlu difahamkan bahawa Malaysia mengutamakan mazhab Syafie, sekali gus menjadikan mazhab itu perlu diraikan.

“Ini bukan bermakna kita jumud tetapi kita hanya mendahului mazhab ini dalam apa juga hukum yang diputuskan. Malah jika dilihat dan difahami, jawatankuasa fatwa negeri mengiktiraf serta mengamalkan empat mazhab terbabit,” katanya.

Mengambil contoh Seksyen 54 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 memperuntukkan dalam mengeluarkan apaapa fatwa di bawah seksyen 48 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 53 Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul (pendapat) muktamad Mazhab Syafie.

Jika jawatankuasa fatwa berpendapat dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, jawatankuasa fatwa bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

Jika jawatankuasa fatwa berpendapat tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan berlawanan dengan kepentingan awam, ia boleh membuat fatwa mengikut ijtihad tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana mazhab yang empat itu.

Ini bukan bermakna kita jumud tetapi kita hanya mendahului mazhab ini dalam apa juga hukum yang diputuskan. Malah jika dilihat dan difahami, jawatankuasa fatwa negeri mengiktiraf serta mengamalkan empat mazhab terbabit” Dr Irwan Mohd Subri, Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.