Dampingi masyarakat

Usia cecah 40 tahun, Siti Nurhaliza fokus berbakti kepada insan memerlukan

Berita Harian - - HIP! -

Memasuki usia 40-an, selain menterjemahkan kematangan, ia juga melambangkan peralihan yang menggusarkan dari segi fizikal dan mental, terutama bagi mereka yang belum bersedia.

Namun, bagi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang meniti usia 40 tahun hari ini, peralihan itu bukan sesuatu yang meresahkan.

Menyifatkan permulaan angka baharu itu sebagai momen kemuncak dalam kehidupannya, Siti bersyukur, Allah menganugerahkannya segala yang diimpikan oleh setiap wanita.

Mungkin belum mencapai kesempurnaan, namun memiliki kerjaya nyanyian yang semakin stabil dan terus berkembang, selain mendakap bahagia bersama suami tercinta dengan kehadiran anak yang sekian lama didambakan, melengkapi hidupnya sebagai wanita.

Apa yang diimpikan penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu ketika ini cuma satu, memberi semula kepada masyarakat yang meletakkan dirinya pada kedudukan paling kukuh sepanjang lebih dua dekad mencipta nama.

“Usia bagi saya hanya angka dan sama ada suka atau sebaliknya, apabila sampai masanya, kita tidak dapat mengelak daripadatua.

“Pada usia 40 tahun, saya mahu menjadi lebih matang, selain berdoa dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan kerjaya dan beribadah kepada Yang Maha Esa.

“Saya sangat bersyukur kerana pada usia ini, saya masih lagi bertahan dalam industri muzik yang diceburi sejak usia 16 tahun.

“Fokus utama saya kini adalah lebih mendekatkan diri kepada masyarakat, selain memberi semula dan membantu mereka sedaya mungkin,” katanya.

Jaga kualiti kerja

Menyorot kembali perjalanan hidupnya empat dekad lalu, penyanyi Anta Permana ini mengakui, pelbagai fasa yang dilalui sebelum sampai ke tahap selesa.

“Ketika usia mencecah 20 tahun, semangat untuk bekerja begitu membuak-buak hingga langsung tidak terfikir soal rehat.

Fokus utama saya kini adalah lebih mendekatkan diri kepada masyarakat, selain memberi semula dan membantu mereka sedaya mungkin”

“Apabila usia memanjat angka 30-an, saya sudah mencapai apa yang diimpikan. Saya hanya perlu mengekalkan apa yang sudah dalam genggaman dengan menjaga kualiti kerja.

“Ketika menginjak usia 40, tiada apa lagi yang ingin saya kejar atau rebut. Kemasyhuran juga bukan segala-galanya. Tidak perlu rasanya saya melakukan perkara pelik semata-mata untuk meraih perhatian kerana bagi saya, populariti itu datang dengan sendirinya,” katanya ketika ditemui pada acara Showcase Datuk Seri Siti Nurhaliza di Pusat Penyiaran Asia (ASTRO), Bukit Jalil baru-baru ini.

Tak minat masuk politik

Menjadikan artis luar negara sebagai contoh, Siti berkata, dia mahu mengikut jejak langkah mereka yang diibaratkan seperti permata seni yang sangat berharga.

“Semakin berusia, semakin tinggi nilai mereka. Saya mahu menjadi seperti mereka,” katanya.

Alang-alang mendekatkan diri kepada masyarakat, isteri tokoh korporat, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa ini turut ditanya mengenai kemungkinan menyertai politik.

Pantas memintas, Siti berkata, ketika ini, dia lebih selesa dengan kerjayanya sebagai penyanyi yang menghiburkan masyarakat.

“Hati saya lebih senang dan tenang apabila dapat turun padang menghiburkan masyarakat. Sambil menghiburkan mereka, saya manfaatkan kesempatan itu untuk menghulur bantuan kepada manamana pihak yang memerlukan.

“Itu lebih menyeronokkan,” kata pemenang Anugerah Sri Perak, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012.

Sambutan istimewa hari kelahiran

Saban tahun, setiap kali juara Bin

tang HMI 1995 itu meraikan ulang tahunnya, pasti akan ada sambutan yang dilakukan terutama oleh stesen radio yang memutarkan lagu nyanyiannya untuk tempoh tertentu.

Tahun ini, stesen radio, Hot FM menganjurkan konsert digital, Bombastik CTDK, mulai jam 9 malam ini sebagai hadiah istimewa sempena hari kelahirannya.

Konsert itu menyaksikan artis generasi baharu seperti Sarah Suhairi, Kugiran Masdo, Floor 88 dan Neon menyanyikan himpunan lagu popularnya.

Mengulas perkara itu, Siti berkata, dia sangat menghargai usaha yang dilakukan stesen terbabit, pada masa sama terharu dengan ingatan yang diberikan.

“Saya segan apabila stesen radio dan televisyen menunjukkan penghargaan mereka dengan memutarkan lagu atau berkongsi kisah hidup saya untuk dihayati peminat.

“Apabila difikirkan kembali, siapa saya untuk mendapat pengiktirafan besar itu? Saya hanya penyanyi yang cuma mahu menghiburkan orang ramai.

“Apa yang saya buat selama ini adalah atas dasar cinta terhadap kerja seni, selain mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” jelasnya.

Risau bawa anak naik pesawat

Hujung tahun lalu, Siti bersama suami dan anak, Siti Aafiyah berkunjung ke Dubai untuk meraikan sambutan tahun baharu.

Melihat gelagat Aafiyah yang dimuat naik Siti di akaun Instagram (IG), ternyata bayi comel itu sangat seronok dengan pengalaman yang dilaluinya.

Meskipun ia bukan kali pertama Siti membawa anaknya ke luar negara, akuinya perasaan gementar tetap membekas di hati.

“Saya memang risau bawa Aafiyah menaiki pesawat. Bukan apa, sebelum ini, saya selalu melihat ibu yang terpaksa melayan pelbagai ragam anak kecil dalam kapal terbang.

“Bimbang pula perkara yang sama terjadi kepada Aafiyah. Budak kecil biasalah, dia cepat bosan. Untuk mengelakkan dia meragam, saya sediakan permainan dan buku kegemarannya.

“Saya juga mengikuti tip atau panduan persediaan membawa anak kecil melancong. Hanis Zalikha ada berkongsi perkara yang serupa dan saya mengikut apa yang sesuai.

“Alhamdulillah, Aafiyah pandai bawa diri dan tak banyak meragam,” cerita Siti yang sedang membuat persiapan untuk siri konsert jelajah, Datuk Seri Siti Nurhalliza On

Tour yang bakal membuka tirainya di Istora Senayan, Jakarta pada 22 Februari depan.

[ FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/ BH ]

Siti bersyukur terus diminati walaupun usia sudah menginjak 40 tahun.

Ketika bercuti bersama keluarga di Dubai sempena sambutan tahun baharu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.