Kes Rahaf bergerak sepantas kilat

Menteri Luar Australia lawat Thailand iktiraf gadis pelarian sah

Berita Harian - - DUNIA -

Kes Rahaf Mohammed alQunun mahu mencari suaka di Australia jelas sudah menarik simpati dan perhatian dunia ketika perkembangan ini dianggap ‘sesuatu yang istimewa’ bagi isu hak kemanusiaan.

Proses mendapatkan status pelarian kini digerakkan sepantas kilat dan difahamkan ia tidak seperti warga negara lain yang memohon lama dan terpaksa menunggu - seperti senario dari kem di Dadaab, Kenya atau pun Jordan.

Namun, dalam kes Rahaf, 18, yang menggunakan akuan Twitter untuk meluahkan keluhan dan rasa bimbang terhadap nyawa ketika berlindung di Bangkok, jelas sekali dia berjaya mencipta kempen global.

Kini, tekanan komuniti antarabangsa dipercayai hanya mendekatkan impian ke Australia untuk memulakan kehidupan baharu tanpa gangguan anggota keluarganya dari Arab Saudi.

Semalam, Menteri Luar Australia, Marise Payne bertemu rakan sejawatannya dari Thailand, Don Pramudwinai ketika negaranya bersedia menawarkan suaka kepada Rahaf yang berjaya melarikan diri daripada keluarga.

Percubaan gadis remaja itu untuk bebaskan diri dari negara pentadbiran diraja ultra konservatif menjadi perhatian kumpulan hak asasi sejak dia mendarat di ibu kota ini dari Kuwait hujung minggu lalu.

Pihak berkuasa Thailand mengugut menghantarnya pulang namun dengan bantuan aktivis, diplomat dan akaun Twitter, Rahaf melancarkan kempen mendapatkan suaka,

Canberra akan terima Rahaf

Ketika perhatian global meningkat, pihak berkuasa Thailand menarik balik ancaman pengusiran, menyerahkan wanita itu ke dalam jagaan agensi pelarian Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (UNHCR) di sini, yang menggesa Australia supaya menawarkan tempat untuknya.

Kunjungan dijadualkan Payne dibuat selepas Canberra memberi bayangan kukuh, ia akan menerima Rahaf.

Semalam, Australia berkata, UNHCR sudah meneliti kes wanita itu dan mengiktirafnya sebagai pelarian sah.

Dalam satu kenyataan sebelum kunjungannya, Payne tidak menyebut kes Rahaf namun berkata, pihaknya akan melobi bekas pemain bola sepak Bahrain, Hakeem Alaraibi, yang diberi status pelarian di Australia susulan tindakan keras ketika kebangkitan Arab (Arab Spring).

Dia dikehendaki di Bahrain atas tuduhan dikaitkan rusuhan, namun dinafikannya. Alaraibi ditahan di ibu kota ini November lalu ketika bercuti bersama isterinya.

Sementara itu, pakar dan peguam beranggapan pertimbangan oleh kerajaan Australia ke atas kes Rahaf berkenaan diusahakan pada kadar amat laju.

“Lazimnya ia amat lambat sekali,” kata Mary Anne Kenny, seorang pakar perundangan veteran dari Universiti Murdoch di Perth, semalam.

Australia adalah antara negara yang menempatkan semula pelarian yang sudah berada di luar negara mereka, tetapi kes ini amat jarang sekali berlaku.

Daripada jumlah 20 juta orang yang ditangani PBB pada 2017, kurang dari satu peratus ditempatkan semula pada tahun berkenaan. AFP

Marise Payne

Rahaf Mohammed al-qunun

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.