Era politik baharu tak benarkan ugutan, paksaan

Berita Harian - - ISU -

Kuala Lumpur: Sebarang bentuk politik berbentuk ugutan dan paksaan perlu dihentikan, tanpa mengira kesetiaan mereka kepada kerajaan.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perkara itu tidak boleh dibenarkan dalam era politik baharu Malaysia.

Katanya, beliau menyokong penuh kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung ugutan undi yang tidak akan dibenarkan sama sekali.

“Ini Malaysia baharu, kita akan terus membayar gaji semua (Tok Batin), tidak kira sama ada mereka menyokong kita atau tidak,” katanya selepas sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia Kampung Pandan di sini, semalam.

Sambutan Hari OKU disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Syed Saddiq berkata demikian ketika ditanya mengenai ugutan seorang Ahli Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad, berkenaan isu ugutan melucutkan jawatan Tok Batin, serta enggan membayar gaji mereka sekiranya tidak menyokong Pakatan Harapan (PH).

Teguran SPR

Ditanya mengenai teguran SPR supaya tidak menggunakan jentera kerajaan bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands katanya, beliau menghormati teguran itu dan semua pihak perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan SPR.

“Saya sendiri akan pergi sana esok (hari ini) atas kapasiti saya sendiri, memandu dengan kenderaan sendiri.

“SPR kini ada taring yang baharu, kena ikutlah amaran. Kita kena terima,” katanya.

Baru-baru ini dilaporkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menggunakan helikopter ke Cameron Highlands, tetapi dinafikan beliau yang menyatakan beliau ke sana atas lawatan rasmi sebagai menteri, yang sudah dirancang lebih awal.

Sementara itu, ditanya mengenai dana untuk parti yang dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU dan gerakan menolak beliau sebagai Ketua ARMADA, katanya, perkara itu hanya perbezaan pendapat.

“Itu biasa. Saya menghormati pendirian mereka tetapi saya tetap berpendirian tegas, saya faham dana itu perlu wujud tapi guna saluran yang sah.

“ARMADA pun tengah berbincang dan cadangkan beberapa perkara mengenainya.

“Pentingnya mempunyai dana politik, tetapi perlu ada satu piawaian baharu supaya tidak berisiko untuk peringkat akar umbi parti.

“Kita tidak mahu dana politik menyebabkan ramai berani mengambil risiko membuat perkara ini dan terikut-ikut (politik wang). Kalau ada akta itu sendiri, maka kita boleh alu-alukan syarikat dan individu yang ingin membantu parti,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.