Khairul Dzaimee dilantik Ketua Pengarah Imigresen

Pelantikan berkuat kuasa hari ini, Jamil kekal Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan

Berita Harian - - ISU - Oleh Fahmy A Rosli dan Noor Atiqah Sulaiman

Selepas Datuk Jamil Rakon diumumkan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen pada 4 Januari lalu, berlaku pertukaran ‘saat akhir’ membabitkan jawatan itu, semalam.

Datuk Khairul Dzaimee Daud diumumkan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu berkuat kuasa hari ini, walaupun nama Jamil sebelum ini disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Pertukaran terbaru

Pertukaran terbaru itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim, dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan itu turut memaklumkan Jamil dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan.

Khairul Dzaimee, 47, sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) sejak Julai 2018.

Alwi berkata, Khairul Dzaimee berpengalaman dalam bidang pengurusan keselamatan dan imigresen.

“Beliau turut bertanggungjawab terhadap dasar berkaitan hal ehwal imigresen, pengurusan pekerja asing serta hal ehwal pendaftaran negara.

“Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada Disember 1996 di Jabatan Perkhidmatan Awam, diikuti Kementerian Pembangunan Usahawan, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan, sebelum di KDN,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Khairul Dzaimee menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional, berkuat kuasa 2 Januari lalu.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, ketika diminta mengulas pelantikan itu berkata, ia adalah perkara biasa yang berlaku dalam kementerian.

Lantikan perkara biasa

Beliau juga menolak dakwaan keputusan menggantikan Jamil dengan Khairul Dzaimee adalah keputusan flip-flop.

“Ia perkara biasa dalam kementerian. Bukan flip-flop kerana berlaku dalam lingkungan kementerian itu sahaja dan tidak membabitkan kementerian lain,” katanya.

Mengulas sama ada Ketua Setiausaha KDN mempunyai kuasa mengatur pelantikan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Azih berkata, Alwi cuma mengumumkan, manakala lantikan diputuskan oleh kerajaan.

Khairul Dzaimee Daud

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.