AIM ditambah baik demi manfaat golongan sasar

Berita Harian - - KEPUTERAAN -

Johor Bahru: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) komited terhadap usaha membantu rakyat dan pengisiannya akan terus ditambah baik demi manfaat golongan sasar.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, menyangkal dakwaan kononnya fungsi AIM lari daripada landasan penubuhannya.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha ke arah mengembalikan semula dan menambah baik fungsi organisasi itu.

Katanya, audit turut dijalankan terhadap anak syarikat AIM dan semua isu serta penyalahgunaan diberi perhatian.

“Kalau nak dikatakan fungsi AIM jauh berbeza antara pentadbiran kerajaan, itu tidak wajar kerana kita (Pakatan Harapan) baru lapan bulan memerintah, manakala AIM ditubuhkan sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri Pembangunan Luar Bandar dengan EXCO Luar Bandar (MEXCLUB) di sini, semalam.

Berdasar kelayakan

Rina berkata, pemilihan Pengerusi AIM baharu, Datuk Junaidah Kiting, dibuat berdasarkan kelayakan, bukannya amalan kronisme seperti didakwa.

“Sahabat AIM 99 peratus daripadanya adalah golongan wanita dan pemilihan pengerusinya bukan saja wanita, bahkan mempunyai latar belakang usahawan berjaya yang membuatkan beliau lebih dekat serta mampu menjiwai sahabat AIM,” katanya.

Sebelum ini, portal berita tempatan melaporkan Pengasas AIM, Prof Sukor Kasim, menggesa badan itu kembali kepada matlamat asal untuk membantu golongan miskin selaras dengan ikrar yang diungkapkan.

Sukor turut membidas tindakan AIM melantik pengurusan baharu selepas pertukaran kerajaan.

[FOTO ZAIN AHMED /BH]

Rina bersama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa serta Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus (kiri), mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bersama EXCO Luar Bandar di Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.