Kredibiliti media perdana masih utuh

Berita Harian - - ISU -

Sebaik jendela 2019 dibuka, kecoh berita kononnya Yang di-pertuan Agong ke15, Sultan Muhammad V, meletak jawatan. Ini berikutan tersebarnya berita di media sosial menyebut Majlis Raja-raja bersidang mengejut bagi membincangkan kedudukan Sultan Muhammad V, yang dikatakan meletakkan jawatan.

Ketika berita menjadi tular di media sosial, ramai cuba mendapatkan pengesahan daripada media arus perdana.

Ramai tertanya-tanya apakah berita yang mereka baca di media sosial itu benar atau palsu. Selagi media arus perdana belum menyiarkan berita berkenaan, ia masih dianggap spekulasi.

Bagi yang mengikuti rentetan perkembangan Yang di-pertuan Agong, mereka yakin dengan berita yang mereka dengar atau baca di media sosial itu.

Sesetengahnya pula tetap menunggu pengesahan daripada berita dalam talian terbitan media arus perdana, media cetak atau elektronik nasional.

Berita itu tidak disiarkan di BERNAMA, akhbar kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Utusan Melayu, The Star, Sinar Harian, stesen radio atau televisyen sama ada RTM, TV3 dan saluran lain dalam Media Prima dan Astro Awani.

Sebenarnya, inilah kekuatan media arus perdana yang tidak ada pada portal berita atau platform media sosial lain.

Pengamal media arus perdana terus berpegang kepada amalan kebertanggungjawaban atau tidak mahu mencari masalah.

Dalam menyiarkan berita berkaitan istana, khasnya membabitkan sesuatu pengumuman, media arus perdana perlu mendapatkan pengesahan rasmi. Ia peraturan atau dalam konteks hari ini prosedur operasi standard (SOP) bagi media.

Sumber berita

Pengarang akan menyoal siapakah sumber berita yang memberi maklumat mengenainya. Sumber berita mesti mempunyai autoriti untuk bercakap dengan media, bukan sesiapa sahaja boleh berbuat demikian.

Walaupun wartawan media arus perdana mungkin mempunyai lebih banyak maklumat dan sentiasa di lapangan berbanding operator media sosial yang hanya berada di kedai kopi, mereka masih ‘tidak berani’ menyiarkan berita itu, selagi belum mendapat ‘lampu hijau’ atau pengesahan daripada pihak berautoriti.

Bagi pembaca, mereka mungkin menganggap media rasmi ‘ketinggalan bot’ dalam penyiaran berita seperti ini.

Pada media arus perdana, berita peletakan dan pelantikan Yang di-pertuan Agong mereka letakkan pada kategori kerahsiaan paling tinggi. Media tidak boleh melakukan kesalahan walau sekecil mana sekali pun.

Kalau sering mengikuti berita dalam media arus perdana, selalu juga media mengutip kenyataan sumber istana dalam menyiarkan berita tertentu, tetapi kebanyakannya berita biasa yang tahap sensitivitinya adalah rendah.

Kenyataan politik daripada pelbagai pihak terhadap istana, bukan sesuatu yang asing dibaca atau didengar di media, tetapi berita seperti ini masih boleh diterima. Media arus perdana juga menyiarkan berita yang membabitkan istana, yang tidak semestinya berita baik semata-mata.

Ada kalanya media arus perdana menyiarkan berita yang tidak memihak kepada istana, tetapi apabila menyiarkan berita yang risiko paling tinggi ini, media arus perdana terpaksa ‘ikut buku’.

Media arus perdana tidak berani mengambil risiko menyiarkan berita peletakan jawatan

Yang di-pertuan Agong kerana kesannya kepada organisasi media itu sendiri, istana dan negara adalah besar.

Sepatutnya, dalam keadaan melariskan jualan, akhbar boleh menggunakan peluang mensensasikan berita berkaitan Yang di-pertuan Agong ini, namun media tetap mengambil sikap berhati-hati.

Persoalan yang sering bermain di fikiran pengarang ialah bagaimana jika berita ini tidak benar atau bagaimana jika berlaku perubahan keputusan.

Sudah tentu keadaan ini berbeza di negara yang masih mengamalkan sistem monarki di Barat dan kebebasan media kerana ia akan menjadi berita utama muka depan akhbar di negara berkenaan, dengan pelbagai versi dan reaksi.

‘Berkampung’ di depan istana

Di negara seperti ini, berita mengenai istana menjadi keutamaan kerana kajian menunjukkan rakyat negara ini gemar membaca dan mengetahui mengenai kehidupan di istana.

Wartawan dan jurugambar, sanggup berkampung di depan istana setiap hari untuk mendapat berita panas yang berlaku dalam istana.

Selepas tular berita mengenai peletakan jawatan Yang di-pertuan Agong di media sosial pada 2 Januari, berita mengenainya sekadar menjadi cakap-cakap kosong pembaca.

Berita mengenainya disensasikan dengan mencampurkan garam dan rempahnya, melalui pelbagai pendapat dan komen daripada pemain media sosial.

Berita ini dikaitkan pula dengan pertemuan antara Sultan Johor dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kononnya mempunyai pandangan berbeza berhubung pemilihan Yang di-pertuan Agong yang baharu.

Apabila media menyiarkan kenyataan Dr Mahathir yang menyatakan bahawa Yang di-pertuan Agong sudah mula menjalankan semula tugas, diikuti penafian Istana Kelantan mengenai peletakan jawatan itu, media menganggap isu itu selesai.

Keadaan di media tenang hanya seketika, namun pada 6 Januari, keadaan berubah apabila terpampang berita di media arus perdana berhubung peletakan jawatan serta-merta Yang di-pertuan Agong, menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz.

Selepas berita ini disiarkan, baru media arus perdana berlumbalumba menyiarkan berita, laporan dan rencana berkaitan dengannya.

Begitu juga dengan berita pelantikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebagai Sultan Pahang keenam.

Walaupun media arus perdana sudah mengetahui keputusan pelantikan itu, media hanya menyiarkannya berita itu kelmarin selepas diumumkan oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Pengumuman dibuat selepas 30 Ahli Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang bermesyuarat Jumaat lalu, bersetuju sebulat suara atas pemilihan Tengku Abdullah.

Dalam beberapa hari akan datang ini, tumpuan media sudah pasti berhubung dengan pelantikan Yang di-pertuan Agong Ke-16.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.