PH berdepan laluan sukar: TPM

Berita Harian - - KECIL PILIHAN RAYA -

Putrajaya: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui, Pakatan Harapan (PH) berdepan laluan sukar untuk menentang Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak sebelum menjadi kerajaan lagi, PH berdepan cabaran apabila menentang BN, termasuk calon UMNO dan ia semakin sukar pada PRK kali ini, kerana parti itu menggunakan sentimen tempatan.

Beliau juga mengakui peluang kemenangan di PRK itu tidak begitu besar, namun atas dasar dan komitmen PH untuk mengubah cara pentadbiran kerajaan berbanding sebelum ini, peluang kemenangan pasti ada.

Sentimen tempatan

“Sudah tentu ia adalah sebahagian daripada cara (memainkan sentimen tempatan) tetapi anda perlu bertanding. Berdasarkan apa yang kita tawarkan, sekurang-kurangnya jika pengundi mengundi kita, itu sudah cukup baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Konvensyen Malaysia Positif 2019 dan Kempen Malaysia Positif di sini, semalam.

Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata demikian, mengulas langkah BN meletakkan Orang Asli tempatan yang juga bekas pegawai polis, Ramli Mohd Noor bertanding di PRK itu.

PRK Parlimen Cameron High- lands menyaksikan saingan empat penjuru antara Ramli; calon PH, M Manogaran dan dua calon Bebas, iaitu Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee.

Sementara itu, ditanya sama ada PKR akan mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad berhubung kenyataannya yang dikatakan mengugut untuk melucutkan jawatan Tok Batin dan gaji mereka jika tidak menyokong PH, Dr Wan Azizah berkata, Bob Manolan tidak bermaksud begitu.

“Saya sudah tanya beliau dan beliau memaklumkan tidak bermaksud begitu. (Tindakan) itu saya serahkan kepada Presiden baharu (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Kita memang tidak bersetuju bahawa beliau memberi ugutan. Di mana-mana pun, kita mesti berhati-hati dengan apa yang diucapkan,” katanya.

Mengenai beberapa keping gambar yang tular di media sosial sejak pagi semalam, menunjukkan seorang wanita mengenakan baju PH sedang memberi wang dipercayai kepada penduduk Orang Asli di Cameron Highlands, Dr Wan Azizah berkata, perkara itu perlu diselidik terlebih dahulu.

“Betulkah? Anda boleh mengenakan baju T dan pergi (memberi wang) serta mengambil gambar. Lebih baik anda memeriksanya,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata, antara kegagalan sesebuah kerajaan adalah tidak dapat mengenal pasti dan meletakkan posisi yang betul kepada rakyatnya.

“Salah satu daripada kesan minda positif adalah kekuatan menapis maklumat. Kesan langsung daripada penyebaran maklumat palsu boleh mengakibatkan saling mencurigai antara satu sama lain, perasaan perkauman yang menebal dan akhirnya boleh mencetus kekacauan kaum serta agama.

“Cukuplah peristiwa 13 Mei menjadi iktibar dan kita tidak mahu ia berulang lagi di bumi Malaysia ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.