‘PRK saluran pilih pemimpin wakili suara semua kaum’

Berita Harian - - KECIL PILIHAN RAYA -

Lipis: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan pertembungan empat penjuru, bukanlah pertandingan untuk mewakili kaum atau etnik tertentu di kawasan berkenaan.

Calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran sebaliknya berpendapat, PRK itu adalah medan untuk 32,009 pengundi kawasan berkenaan, memilih wakil yang boleh mewakili suara semua penduduk berbilang kaum di Parlimen Cameron Highlands.

“Janganlah kita terus memainkan atau menimbulkan isu bahawa PRK kali ini adalah satu pertandingan untuk membuktikan siapa yang boleh membela nasib kaum atau etnik tertentu sahaja.

“Ini adalah perlawanan antara PH, Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas, tidak sepatutnya timbul persoalan mengenai calon ini mewakili kaum tertentu semata, kita nak pilih mereka (Ahli Parlimen) yang boleh memperjuangkan nasib semua kaum dan etnik yang ada di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Ceramah Umum dan Majlis Memperkenalkan Calon PH di Bilik Gerakan PH FELDA Sungai Koyan 3, dekat sini, malam kelmarin.

Saingan empat penjuru

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Nor; serta dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Diminta mengulas peluang PH mendapat sokongan masyarakat Orang Asli selepas insiden Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad yang didakwa mengugut Tok Batin di kawasan Cameron Highlands yang tidak menyokong Kerajaan Persekutuan, Manogaran berkata, kenyataan terbabit adalah pendapat peribadi Bob Manolan dan tidak menggambarkan pendirian PH.

“Saya sendiri pun tidak bersetuju dengan kenyataan dibuat Bob Manolan, ia adalah pendapat peribadi beliau dan ia bukanlah pendirian Kerajaan Persekutuan atau pimpinan PH.

Beliau berkata, pendekatan sama akan digunakan dalam kempen membabitkan warga FELDA di sekitar daerah Cameron Highlands.

Di Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam kenyataan meminta maaf bagi pihak PKR berikutan kenyataan Bob Manolan itu.

Berdasarkan prinsip parti, Tian Chua berkata, PKR tidak menyokong sebarang cara membabitkan paksaan dan ugutan untuk menarik apaapa bentuk dana serta jawatan sebagai cara mudah menarik undi.

“Saya juga menegaskan bahawa pemimpin kami sepatutnya lebih berwaspada dan sensitif dengan sentimen awam, termasuk berjaga-jaga terhadap undang-undang ketika kempen pilihan raya berlangsung.

“Bagi pihak Keadilan (PKR), saya dengan ikhlas memohon maaf kepada masyarakat Orang Asli yang tersinggung dengan sebarang kenyataan cuai daripada parti kami,” katanya.

“Saya berharap, semua polemik dan retorik yang berlaku akan tamat sekarang. Marilah kita fokus berdebat tentang kepentingan rakyat dan gunakan platform adil untuk peroleh kemenangan demi kemajuan negara,” katanya.

Kuala Lumpur,

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.