Tindakan Kip Yap bersifat peribadi

Berita Harian - - KECIL PILIHAN RAYA -

Ipoh: GERAKAN Perak menyifatkan tindakan Pengerusi GERAKAN Cameron Highlands, Ho Kip Yap, menjadi pencadang kepada calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sebagai keputusan peribadi.

Pengerusinya, Datuk See Tean Seng, berkata ia kerana Kip Yap adalah individu yang terkenal di Cameron Highlands sebagai seorang yang rajin, rendah diri dan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.

Sering bantu penduduk

“GERAKAN akan buat apa yang terbaik untuk rakyat. Beliau seorang yang sangat aktif dan selalu menolong orang di sana. Saya rasa keputusan beliau adalah lebih bersifat peribadi,” katanya.

Pada hari penamaan calon PRK Parlimen Cameron Highlands, kelmarin, Kip Yap mengejutkan orang ramai apabila menjadi pencadang kepada pencalonan Ramli, yang menjadi calon langsung BN.

Tindakan Kip Yap itu menimbulkan tanda tanya kerana pada 23 Jun lalu, GERAKAN mengumumkan keluar dari BN selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Bagaimanapun, Tean Seng berkata, tindakan Kip Yap menimbulkan tanda tanya kerana beliau tidak berbincang dengan presiden parti dan membuat tindakan sendiri.

“Beliau tidak mendapat restu daripada presiden (dan kepemimpinan) peringkat nasional. Kami ada berbincang dengan beliau sebelum ini untuk menjadikan beliau sebagai calon (PRK Cameron Highlands) tetapi dia tolak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.