SKMM kesan pemilik akaun media sosial

Pemuda BN, MIC lapor SPRM, polis gesa siasatan dilakukan

Berita Harian - - KECIL PILIHAN RAYA -

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengesan pemilik akaun media sosial, yang menyebarkan gambar seorang wanita yang memberikan wang kepada orang awam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, untuk mendapatkan penjelasan.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith, berkata sehingga ini tiada sesiapa tampil memberikan penjelasan, termasuk lokasi kejadian dan motif di sebalik pengedaran gambar itu.

“SKMM memerlukan sedikit masa untuk mengenal pasti pemilik akaun dan alasan dia menjadikan gambar isu viral.

“Ia mungkin spekulasi semata-mata dan digembar-gemburkan.

Kesahihan gambar

“Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan perkara yang didakwa mengenai gambar itu mungkin tidak sahih,” katanya selepas melawat pusat operasi PH di FELDA Sungai Koyan 3 di sini, semalam.

Beberapa gambar viral di media sosial sejak semalam, menunjukkan seorang wanita mengenakan baju PH sedang memberi wang kepada beberapa individu, dipercayai penduduk Orang Asli di Cameron Highlands.

Sementara itu, Pemuda Barisan Nasional (BN), Pemuda UMNO dan MIC membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis berhubung perkara itu, semalam.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Noor, berkata pihaknya menggesa siasatan lanjut dilakukan oleh agensi itu, termasuk menyoal siasat individu terbabit.

Ketua Pemuda MIC, R Thinalan mahu polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat siapakah wanita berkenaan dan di manakah kejadian berlaku.

Sementara itu, Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet, menjelaskan wanita yang mengagihkan wang kepada orang awam berkenaan adalah bagi pembayaran balik kos petrol, kepada sukarelawan Orang Asli dari pedalaman yang hadir pada hari penamaan calon.

Bayaran balik wang

Katanya, pembayaran balik wang itu akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya.

“Semua dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan DAP sebagai rakan komponen PH percaya kepada satu pilihan raya yang bersih dan telus, kami akan terus memegang prinsip ini dalam kempen kami,” katanya, dalam satu kenyataan.

Calon PH, M Manogaran, pula berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai dakwaan itu dan menafikan wang berkenaan datang daripadanya.

Sementara itu, Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, berkata bukan kesalahan bagi parti politik membayar balik kos petrol kepada sukarelawan yang terbabit dengan kempen mereka, tetapi perbelanjaan itu perlu diisytiharkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Beliau berkata, perbelanjaan itu perlu direkodkan sebagai perbelanjaan calon yang ditetapkan tidak lebih RM200,000.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.