MARA beri kelonggaran

Pelajar tak mampu boleh bayar secara ansuran, mohon tangguh

Berita Harian - - ISU -

Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi kelonggaran kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang kurang berkemampuan untuk membayar yuran pendaftaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) secara ansuran atau memohon penangguhan bayaran.

MARA dalam satu kenyataan semalam berkata, pelajar tidak berkemampuan membuat pembayaran secara sepenuhnya pada hari pendaftaran diminta memaklumkan kepada pengurusan maktab bagi memohon penangguhan bayaran atau melunaskan secara ansuran.

Pihak MARA menetapkan bayaran yuran pendaftaran bagi pelajar baharu Tingkatan Satu dan Empat untuk kemasukan ke MRSM 2019 RM342.

Sebahagian besar daripada yuran berkenaan untuk kegunaan dan menampung aktiviti pelajar sepanjang pembelajaran mereka di MRSM.

“Pelajar dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana pihak MARA sentiasa memberikan keutamaan kepada pelajar B40 dan memastikan cita-cita mereka untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM tidak terhalang,” kata kenyataan itu.

Program BUDI bantu pelajar miskin tegar

MARA turut memperkenalkan Program Bantuan Untuk Pendidikan Mara (BUDI) dalam usaha membantu pelajar miskin tegar.

Menerusi skim BUDI, pelajar yang terpilih tidak akan dikenakan sebarang yuran, bahkan turut dipertimbangkan untuk mendapat bantuan wang saku RM50 sebulan serta pengecualian bayaran wang caruman RM60 sebulan.

Menurut kenyataan itu, MARA meletak sasaran 500 pelajar ditawarkan skim BUDI bagi tahun ini.

“Bantuan ini ditaja beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pusat zakat.

Pelawa syarikat, ANSARA

“Sehubungan itu, MARA mempelawa syarikat dan orang ramai, terutama anak ANSARA (anggota Persatuan Bekas Pelajar MRSM Semalaysia) yang berpeluang mendapat pendidikan terbaik MRSM sebelum ini untuk menyumbang kepada program BUDI.

“Semakin besar sumbangan diterima, semakin ramai anak di bawah kumpulan B40 dibantu sepanjang pembelajaran mereka di MRSM,” kata kenyataan itu.

Keratan akhbar BH 1 Januari lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.