LPP sasar tubuh yayasan bantu peladang

Berita Harian - - ISU -

Kuantan: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berhasrat menubuhkan yayasan ditadbir urus lembaga itu sendiri bagi membantu peladang dan pekebun yang bernaung di bawahnya.

Pengerusi LPPM, Datuk Mazlan Aliman, berkata penubuhannya sudah dicadangkan pada mesyuarat ahli lembaga pengarah sebelum ini sebagai platform membantu ahli mereka yang kesempitan hidup.

“Cadangan ini mendapat maklum balas positif daripada ahli mesyuarat dan kita akan cuba mendapat kata putus pada mesyuarat yang akan diadakan lagi pada 22 Januari ini,” katanya ketika ditemui selepas Program ‘Back To School’ Anak-anak Ahli Pertubuhan Peladang Negeri Pahang 2019 di Kolej Poly-tech MARA, di sini, semalam.

Seramai 88 anak ahli peladang daripada 22 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negeri ini menerima bantuan beg sekolah dan wang saku bernilai RM13,200.

Mampu realisasi yayasan LPP

Mazlan berkata, yayasan LPP mampu direalisasikan memandangkan ramai ahli sudah menyuarakan kebimbangan mengenai harga komoditi seperti kelapa sawit dan getah yang tidak menentu, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Katanya, yayasan berkenaan bukan sahaja berperanan sebagai institusi menjaga kebajikan peladang dan pekebun kecil, malah mampu berfungsi sebagai institusi kewangan yang kukuh seperti yayasan lain.

“Kita akan bincang konsep dan kandungan yayasan ini supaya ia dapat mampu memainkan peranan untuk membantu ahli dan kakitangan kita.

“Tetapi ia bukan tertumpu kepada kebajikan semata-mata, kita akan cari apa lagi nilai tambah untuk memantapkan yayasan ini kelak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.