Malaysia mampu serap impak kenaikan kadar faedah AS

Ringgit dijangka berdepan tekanan

Berita Harian - - BISNES - Oleh Nurhayati Abllah

Kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) secara berperingkat memberi ruang kepada pasaran tempatan untuk menyerap impak dan menangani risiko yang muncul daripadanya, namun ringgit dijangka berdepan tekanan.

Rizab Persekutuan (Fed) dijangkakan akan terus menaikkan kadar faedah jangka pendek sebanyak dua kali pada tahun ini, sekali gus akan menyebabkan ketidaktentuan pasaran global.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata berdasarkan bancian ahli mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), bank pusat AS dijangka akan menaikkan kadar faedah sebanyak dua kali pada tahun ini.

Hampiri kadar neutral

“Ini bermakna kadar faedah AS mungkin bakal mencecah paras tiga peratus. Bagaimanapun, ada yang berpendapat kadar faedah AS sudah menghampiri kadar neutral iaitu suatu kadar faedah yang tidak menguncup atau mengembangkan pertumbuhan ekonomi.

“Kesan kenaikan itu dijangka akan memperlahankan momentum pertumbuhan ekonomi AS,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, meskipun berlaku kenaikan, impak terhadap kegiatan ekonomi tidak akan berlaku serta-merta kerana ia mengambil masa dan kemungkinan ia dapat dilihat pada masa ini memandangkan kenaikan kadar sudah bermula sejak Disember 2015.

Berdasarkan Laporan Penyelidikan Ekuiti Malaysia MIDF Research, kenaikan tarif secara berperingkat turut membantu meningkatkan keyakinan perniagaan daripada kalangan pengeluar untuk meningkatkan trend dan menjangkakan prestasi lebih baik bagi tempoh enam bulan akan datang.

Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan prospek ekonomi adalah memberangsangkan pada separuh pertama 2019.

“Prestasi perniagaan secara keseluruhannya bagi tempoh suku keempat 2018 dan separuh pertama 2019 dijangka terus mencatatkan prestasi kukuh terutama dalam sektor perlombongan, pembuatan serta perkhidmatan,” katanya.

Beri tekanan serantau

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi MIDF Research, Dr Kamaruddin Mohd Nor berpendapat, kenaikan kadar faedah dijangka akan memberikan tekanan kepada mata wang serantau termasuk ringgit melalui pengukuhan nilai dolar AS.

“Ini kerana prestasi semasa ringgit adalah dipengaruhi oleh faktor luaran seperti pengukuhan nilai dolar.

“Pada 2018 indeks dolar AS mengukuh pada kadar hampir enam peratus, manakala nilai ringgit merosot sebanyak dua peratus. Oleh itu, kenaikan kadar faedah berkenaan akan memberi kesan kepada prestasi ringgit pada tahun ini,” katanya yang turut mengunjurkan purata mata wang tempatan itu berada pada RM4.05 berbanding dolar AS, tahun ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.