Sime Darby lancar kebun komuniti di Bandar Elmina

2,000 hektar bolehkan penduduk tanam sayur, pokok herba

Berita Harian - - BISNES -

Sime Darby Property Bhd melancarkan pembangunan seluas 2,000 hektar, Elmina Community Edible Gardens di Bandar Elmina, perbandaran pertama di Malaysia yang mempunyai konsep kebun.

Kebun yang hasilnya boleh dinikmati masyarakat itu adalah inisiatif terbaharu Sime Darby Property dengan sokongan masyarakat dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), menyediakan penduduk dengan ruang untuk menanam sayur-sayuran dan herba, sementara pada masa yang sama, memupuk hubungan yang sihat dalam masyarakat.

Community Edible Gardens mempunyai lebih 100 petak di Elmina Central Park di Elmina West.

Sime Darby Property berharap meningkatkan peruntukan dan akan memperkenalkan inisiatif serupa di peringkat pembangunan lain di Bandar Elmina, tertakluk kepada kesesuaian kawasan dan sambutan penduduk.

Pengurus Besar Sime Darby Property, Appollo Leong, berkata pihaknya menubuhkan projek itu sebagai bahagian penting dalam kehidupan yang mampan untuk masa depan.

Katanya, ini termasuk menghubungkan Community Edible Gardens dengan program kitar semula buangan organik.

Pupuk hubungan sihat

Ia juga bertujuan menyelaraskan lebih banyak program dengan MBSA dan organisasi lain dalam menyokong dan berkongsi pengetahuan kehidupan lebih sihat.

“Komuniti yang berkembang maju dan bersemangat boleh dicapai dengan memupuk hubungan yang kuat dan sihat antara penduduk melalui gaya hidup aktif.

“Tidak ada yang lebih penting daripada mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni dalam perbandaran,” katanya.

Leong berkata, komuniti akan menggunakan dan membeli produk tempatan tanpa memerlukan logistik tambahan yang boleh memudaratkan alam sekitar dalam jangka masa panjang.

Konsep kebun itu satu daripada ciri kemampanan perbandaran yang termasuk dalam pelan induk perbandaran Elmina.

“Ia menyokong lapan konsep kesejahteraan bandar yang meliputi rohani, sosial, emosi, alam sekitar, fizikal, intelektual, pekerjaan dan keluarga.

“Selain menyediakan komuniti dengan bekalan makanan berterusan, inisiatif ini menggalakkan kerjasama dan kebersamaan, sebuah platform membina komuniti penyayang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.